Wednesday, September 25, 2024
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bob Bradley dipecat sebagai jurulatih Toronto FC

    TORONTO, KANADA, 27 JUN – Bob Bradley, bekas jurulatih pasukan kebangsaan Amerika Syarikat, telah dipecat semalam sebagai jurulatih dan pengarah sukan Toronto FC selepas permulaan yang hambar dalam Major League Soccer (MLS).

    Kelab Kanada itu kini mencatatkan rekod 3-7 dengan 10 seri dan hanya berjaya mengumpulkan 18 mata, meletakkan mereka di tempat ke-14 dalam Eastern Conference.

    Kelab itu hanya berbeza satu mata dengan pasukan tercorot Miami dan tujuh mata dari tempat kesembilan yang memberikan mereka tempat ke separuh akhir kejohanan.

    “Bob telah menjadi profesional yang sempurna dengan Toronto FC dan kami berterima kasih kepadanya atas semangat dan kerja kerasnya,” kata presiden Toronto FC, Bill Manning dalam satu kenyataan.

    “Kami semua kecewa kerana kami tidak dapat mencapai keputusan yang kami jangkakan,” tambahnya.

    Bob Bradley semasa bercakap pada sidang media MLS All-Star Game 2021 di Stadium Banc of California di Los Angeles, California. – AFP

    Toronto FC, yang turut memecat penolong jurulatih dan pengarah teknikal, Mike Sorber, melantik jurulatih akademi Toronto FC bawah 17, Terry Dunfield sebagai ketua jurulatih sementara.

    Dunfield, bekas pemain tengah antarabangsa Kanada berusia 41 tahun, adalah bekas pemain MLS untuk Toronto dan Vancouver.

    Bradley mencatatkan rekod 14-26 dengan 19 seri sejak mengambil alih Toronto FC pada permulaan musim 2022 selepas menghabiskan empat musim terdahulu sebagai jurulatih Los Angeles FC.

    Beliau mengumpulkan 194 kemenangan sebagai jurulatih, menempatkannya di tempat ketiga dalam senarai sepanjang masa MLS. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda