Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Boeing Starliner tanpa kru selamat mendarat

    WASHINGTON, 8 SEPT – Boeing Starliner tanpa kru berjaya mendarat di New Mexico Jumaat lalu selepas berlepas enam jam sebelumnya dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), lapor United Press International (UPI).

    Kapsul itu meninggalkan dua angkasawan iaitu Butch Wilmore dan Suni Williams yang kini terpaksa berada di stesen itu sehingga Februari dan pulang dengan kapsul SpaceX.

    Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memutuskan masalah dengan pendorong Starliner dan kebocoran helium menjadikannya terlalu berisiko untuk pulang bersama kru.

    Starliner mendarat di White Sands Space Harbor pada 10:01 malam MDT. Pasukan darat menyambut kapsul itu dengan rancangan untuk membawanya kembali ke Florida, yang dilancarkan 6 Jun lalu.

    Pengunduran autonomi dari ISS dilakukan seperti yang dijadualkan pada 4:04 petang MDT selepas kenderaan itu dilepaskan dari modul hadapan stesen. Ia perlahan-lahan bergerak menjauh sambil melakukan siri 12 ‘pecahan pembakaran’ dalam tempoh lima minit, mendorongnya lebih jauh dari stesen semasa terbang di tengah China.

    Starliner mengorientasikan dirinya semasa memasuki atmosfera bumi pada kelajuan lebih 17,000 batu sejam. Suhu atmosfera mencecah lebih 3,000 darjah Fahrenheit. – Bernama

    Gambar menunjukkan pasukan Boeing dan NASA bekerja di sekitar kapal angkasa Boeing Crew Flight Test Starliner NASA selepas ia mendarat tanpa kru pada 6 September, di White Sands, New Mexico, selepas berlabuh dari ISS. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda