Tuesday, April 29, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bolehkah menangisi jenazah?

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Apabila berlaku kematian, ada orang yang boleh menghadapinya dengan sabar dan tabah, namun ada juga orang yang tidak dapat menghadapinya sehingga menangis, meratap atau meraung.

    Perkara sebegini tidak dinafikan berlaku kerana perasaan sayang kepada si mati membuatkan perasaan sedih itu timbul, kerana hidup bersama dalam masa yang panjang semasa si mati masih hidup, kini dia kembali ke hadirat ilahi buat selama-lamanya. Tentu perkara ini memberikan kesan terhadap semua yang mengenali si mati kadang-kadang tidak dapat menerima hakikat kematiannya. Tambahan lagi orang yang telah pergi selama-lamanya itu keluarga yang dekat seperti ibu atau bapa atau anak sendiri. Mengenai hukum menangisi jenazah ini akan dihuraikan selanjutnya selepas ini.

    Hukum menangisi jenazah

    Hukum menangisi jenazah adalah harus sama ada sebelum berlakunya kematian iaitu ketika dalam keadaan nazak ataupun selepas berlakunya kematian. Walau bagaimanapun menangisi jenazah sebelum berlakunya kematian adalah lebih utama berbanding menangisinya selepas kematian. Menangisi jenazah selepas berlakunya kematian adalah khilaf al-awla iaitu menyalahi yang utama kerana ia merupakan penyesalan dari perkara yang telah lalu.

    Menangisi jenazah kerana sayang dan sedih di atas pemergiannya adalah merupakan perasaan semula jadi manusia. Rasullullah juga pernah menangis ketika menghadapi kematian anak Baginda Ibrahim ‘alaihissalam. Perkara ini jelas disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. yang maksudnya:

    “Kami masuk bersama Rasulullah mendatangi Abu Saif l-Qaiyn (iaitu suami perempuan) yang mengasuh dan menyusui Ibrahim ‘alaihissalam (putera Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam). Rasulullah mengambil Ibrahim lalu memeluk dan menciumnya. Kemudian kami menjumpainya lagi selepas (peristiwa) itu dan Ibrahim hampir menghembuskan nafasnya sehingga menyebabkan kedua mata Rasulullah berlinang air mata. Lalu ‘Abdurrahman bin ‘Auf r.a. (dengan perasaan takjub) bertanya kepada Baginda: “Engkau juga (menangis) wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab: “Wahai Ibn ‘Auf, sesungguhnya ini adalah rahmat,” kemudian berterusanlah keluar airmata Baginda. Setelah itu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya kedua mata boleh mencurahkan air mata, hati boleh merasa sedih, akan tetapi kami tidaklah boleh mengatakan kecuali apa yang diredhai oleh Tuhan kami dan dengan perpisahanmu ini wahai Ibrahim kami amat bersedih”. (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Menangisi jenazah sehingga berlebihan seperti meratap, memukul dada dan pipi, mengoyak baju, dan berteriak adalah dilarang kerana melewati batas-batas yang diharuskan dalam syarak.

    Jawapan Rasullullah kepada Ibn ‘Auf r.a. dalam hadis di atas “Sesungguhnya ini adalah rahmat” bermaksud keadaan Baginda (tangisan) yang disaksikan oleh Ibn ‘Auf r.a. itu adalah perasaan kasih sayang terhadap anak dan bukanlah ia sebagai kegelisahan atau ketidaksabaran sepertimana yang disangkakan oleh sahabat Baginda itu.

    Begitu juga diceritakan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid r.a. ketika Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menghadapi kematian cucu Baginda. Nafas Baginda menggeletar dan air mata Baginda berlinangan di saat cucu Baginda diserahkan kepadanya. Lalu Sa‘ad bin Ubadah r.a. bertanya kepada Baginda sebagaimana yang maksudnya:

    “Wahai Rasulullah, (air mata) apa ini?” Nabi menjawab: “(Air mata) ini adalah rahmat (perasaan sayang) yang Allah jadikan dalam hati-hati hambaNya dan sesungguhnya Allah hanya merahmati hamba-hambaNya yang penuh rasa kasih sayang.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Bentuk tangisan yang diharuskan

    Bentuk tangisan yang diharuskan itu sebagaimana disebutkan dalam kitab Hasyiatan Qalyubi Wa ‘Umairah ialah tangisan dengan suara yang perlahan (sekadar terisak-isak) walaupun mengeluarkan air mata dan perasaan hati yang sedih.

    Menurut Imam as-Subki Rahima-hullahu Ta‘ala jika tangisan ke atas jenazah itu, kerana perasaan kasih sayang dan kerana perasaan takut di atas apa yang akan menimpa kepadanya daripada balasan Allah Ta‘ala dan perkara-perkara yang menakutkan pada hari kiamat adalah tidak makruh dan tidak menyalahi yang lebih utama.

    Menurut ulama lagi, jika tangisan itu kerana perasaan kasih sayang seperti menangisi kanak-kanak adalah tidak mengapa, akan tetapi adalah lebih baik bersabar. Adapun jika menangisi jenazah kerana hilangnya ilmu, kebajikan, keberkatan dan keberanian si mati maka ia digalakkan.

    Bentuk tangisan yang dilarang

    Bentuk tangisan yang dilarang ke atas jenazah itu ialah seperti berikut:

    Haram jika tangisan itu disebabkan ketidaksabaran dan tidak menerima sebagai qadha daripada Allah Ta‘ala.

    Haram menangisi jenazah dengan menyebut-nyebut kebaikan si mati seperti katanya: “Aduhai gunungku” (si mati diibaratkan sebagai gunung kerana si mati adalah tempat bersandar dan berharap).

    Larangan mengenai meratapi jenazah sebegini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy‘ari r.a. bahawa Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Tidak ada jenazah yang (mati atau hampir mati) dan diratapi oleh keluarganya dan berkata-kata: “Aduhai gunungku”, “Aduhai tuan aku”” atau yang seumpamanya, melainkan diwakilkan untuknya dua malaikat menepuk-nepuk dada si mayat (dengan kedua tangannya dan) berkata: “Beginikah kamu?” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

    Persoalan “beginikah kamu” dalam hadis tersebut itu adalah ancaman bagi orang yang meratap dengan menyebut-nyebut kebaikan si mati.

    Haram menangisi jenazah dengan suara yang tinggi seperti meraung. Abu Malik al-Asy‘ari r.a. menceritakan, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudya:
    “Ada empat (perangai) pada umatku yang dibawa dari zaman Jahiliyyah, mereka tidak dapat meninggalkannya sama sekali iaitu: “Bangga terhadap kemuliaan, menghina hubungan sesama kekeluargaan, mempercayai turunnya hujan melalui perbintangan (ilmu tenung) dan ratapan,” Baginda bersabda: “Orang yang meratap itu apabila dia belum bertaubat sebelum kematiannya maka akan dibangkitkan pada hari kiamat (dalam keadaan kulitnya berkurap atau berkudis seolah-olah) pada (anggota)nya baju (yang dilumuri dengan) minyak (iaitu minyak yang dilumuri pada unta yang berpenyakit kurap dan minyak itu dibakar untuk menghilangkan penyakit kurap pada unta itu seolah-olah) baju dari kurap atau kudis.” (Hadis riwayat Muslim)

    Begitu juga haram menunjukkan perasaan tidak sabar sehingga memukul-mukul dada dan pipi atau menarik rambut dan mengoyak baju. Ini juga berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah r.a. bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Bukanlah dari golongan kami orang yang menampar-nampar pipi dan mengoyak-ngoyak baju dan menyebut-nyebut (penyesalan terhadap si mati) sebagaimana sebutan orang jahiliyyah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Menangisi jenazah sehingga berlebihan seperti meratap, memukul dada dan pipi, mengoyak baju, dan berteriak adalah dilarang kerana tangisan seperti ini melewati batas-batas yang diharuskan dalam syarak. Tangisan seperti ini menunjukkan ketidaksabaran seseorang itu dalam menghadapi takdir Allah Ta‘ala.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda