Oleh Fadhil Yunus
MANILA, 4 DIS – Pasukan Boling Padang Brunei Darussalam memungut pingat perak kelima negara dalam Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30 setelah tewas kepada Malaysia 24-6 dalam Kategori Empat Lelaki di pusingan akhir di Padang Friendship Gate di Clark Global City, kelmarin.
Pasukan diwakili oleh Bahren Abdul Rahman, Mohammad Hazmi bin Haji Idris, Haji Amli bin Haji Gafar dan Haji Osman bin Haji Yahya menjadi pasukan terakhir yang memberikan pingat buat negara dalam acara boling padang.
Pasukan Brunei ditewaskan oleh pasukan Malaysia yang terdiri daripada Mohammad Idham Amin, Daeng Dhadyry Dahasry, Zulhilmie Redzuan dan Fairul Izwan Abdul Muin, yang berjaya merangkul pingat emas keempat bagi acara boling padang.
Juara tahun 2017 filipina yang terdiri daripada Curte Robert Guarin, Emmanuel Portacio, Leoncio Carreon dan Ronald Lising terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.
Pasukan bagi Kategori Empat Lelaki membantu menambah pungutan pingat perak untuk negara selepas Kategori Pasangan Wanita melalui Amaliah binti Haji Matali dan Esmawandy Ibrahim.
Sementara itu Kategori Tiga Wanita yang diwakili oleh Nurul Nazzirah Jefri, Norafizah Matossen dan Niswan Mujibah bin Haji Hasnan hanya ketinggalan sedikit untuk meraih pingat selepas kalah tipis 17-15 berdepan dengan Malaysia bagi merebut pingat gangsa.

