BOLIVIA – ‘Hari istimewa untuk si mati’ begitulah ungkapan yang diberikan bagi sesetengah penduduk di Bolivia dalam meraikan ‘Hari Jiwa’ di negara itu yang mana telah berlangsung pada Rabu lalu.
Sebelum acara itu berlangsung, penduduk berusaha keras membersihkan dan mencantikkan lagi beberapa kawasan perkuburan di negara itu. Lazimnya, pihak kerajaan juga ikut serta dalam proses pembersihan itu malah telah mengarahkan beberapa penggiat seni mural untuk melukis dan mengecat kawasan makam-makam individual mahupun satu kawasan plot perkuburan keluarga.
Selain itu, pihak kerajaan dan juga persendirian turut mengarahkan beberapa tukang-tukang ukir batu untuk mengukir batu yang menarik di kawasan-kawasan perkuburan persendirian dan juga keluarga-keluarga mereka.
Budaya tradisi merupakan satu adat campuran terhadap pegangan utama negara itu iaitu Katolik. Setiap keluarga akan berkunjung dan melawat kubur keluarga mereka sambil mengadakan pesta di kawasan tersebut seperti berkelah, menyediakan ruang kosong seperti kerusi untuk kaum keluarga mereka dengan anggapan bahawa roh-roh keluarga mereka akan bersama meraikan budaya itu.
Bagi sebuah keluarga yang kematian kanak-kanak, mereka akan menggunakan kain putih sebagai lapik meja mereka manakala kain hitam untuk dewasa. Malah setiap meja akan dihiasi dengan lilin dan gambar-gambar keluarga mereka yang sudah meninggal dunia.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/pgm4_021117_a.jpg)
Beberapa keluarga percaya bahawa setiap kali acara itu berlangsung, roh-roh itu akan kembali semula ke bumi untuk melihat apakah mereka masih diingati oleh kaum keluarga dan rakan-rakan mereka.
Pelbagai persembahan
Lazimnya, setiap keluarga akan menyewa kumpulan penyanyi atau memainkan muzik mereka sendiri malah mereka juga turut membayar kanak-kanak untuk sama-sama meramaikan acara berkenaan. Ramai yang percaya bahawa bilangan kanak-kanak yang turut hadir akan dapat membahagiakan roh-roh yang sudah mati itu. Setiap keluarga juga kadang-kadang menyanyi atau menyewa seseorang untuk menyanyi menyerikan lagi budaya tradisi itu.
Kebanyakan penduduk Bolivia tidak meraikan tradisi budaya itu di kawasan tanah perkuburan sebaliknya mereka mengadakannya di kawasan rumah mereka sendiri dan para tetamu akan dihidangkan dengan makanan yang digemari oleh kaum keluarga mereka yang sudah mati. Penduduk Bolivia percaya bahawa dengan meraikan tradisi itu, mereka sekurang-kurangnya sentiasa mengingati bahawa kematian itu adalah pasti.
Bulan November adalah bulan musim bunga dan juga musim penanaman di Bolivia disebabkan oleh bilangan hujan yang sentiasa turun menyebabkan bunga-bunga di taman dan pokok-pokok sentiasa tumbuh mekar dan subur. Di kawasan Barat Bolivia, penduduk di situ lebih mementingkan makanan pilihan dan kegemaran kaum keluarga mereka yang sudah mati dan diambil kira dalam meraikan pesta berkenaan. Bagi mereka, apa yang pasti makanan itu hendaklah bersumberkan langit, bumi dan juga bawah tanah.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/pgm4_021117_e.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/pgm4_021117_f.jpg)
Sebelum dan selepas kedatangan Sepanyol
Sebelum kedatangan Sepanyol di negara itu, tradisi ini sering diamalkan malah dianggap lebih ekstrem di mana sesetengah keluarga mengorek dan membawa mayat kaum keluarga mereka dan ikut serta dalam upacara pesta itu malah mayat mereka dibawa menari oleh kawan dan keluarga mereka, berjalan di sekitar kampung dan selepas pesta berakhir, mayat keluarga mereka disimpan kembali di kubur mereka. Namun apabila Sepanyol datang ke Bolivia, amalan budaya itu dihentikan dan melarang upacara ini.
Berbeza pada hari ini, kebanyakan anggota keluarga akan menggunakan pakaian cantik dan berkumpul di kawasan kubur mereka dan sebaliknya. Budaya itu diamalkan mengikut selayaknya dan sepatutnya tidak seperti sebelum ini yang lebih ekstrem dan melampau. Begitulah yang diamalkan oleh penduduk Bolivia setiap kali menjelangnya 1 dan 2 November dalam meraikan pesta ‘Hari Istimewa untuk Simati’ dengan mengadakan pelbagai acara dan pesta bagi memperingati keluarga mereka yang sudah mati.
Malah satu lagi upacara penting dalam pesta itu di mana setiap keluarga akan menyediakan roti tantawawas iaitu roti manis yang diperbuat dari tepung jagung manis dan dibentuk dalam pelbagai bentuk yang berbeza-beza.
Sesetengah roti dibentuk serupa rupa manusia di samping itu, roti itu juga dibentuk seperti tangga, bintang, dan banyak lagi untuk memeriahkan lagi pesta berkenaan yang mana unik dan juga pelik. – Agensi