Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 DIS – Hari yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan kakitangan dan pegawai kerajaan tiba apabila gaji dan bonus tahunan dikeluarkan hari ini sebagai insentif pekerjaan yang dilaksanakan sepanjang tahun.
Seperti kelazimannya setiap kali keluar bonus, kedai-kedai mula dibanjiri orang ramai apabila para penerima membuat pembelian barang-barang keperluan dan memenuhi hajat yang diimpikan.
Bagi mereka yang berkeluarga, pada masa inilah mereka meluangkan masa bersama anak-anak untuk membeli barang-barang keperluan sekolah seperti pakaian dan peralatan sekolah.
Tinjauan Media Permata ke beberapa tempat tumpuan membeli-belah di kawasan Gadong, Kiulap dan Berakas hari ini, menyaksikan tawaran-tawaran menarik seperti promosi-promosi hujung tahun dan potongan diskaun diberikan bagi menarik perhatian para pelanggan.
Walaupun dengan pemberian bonus, perlu juga diingat berbelanja secara bijak dan mengikut kemampuan selain memberi keutamaan kepada perkara penting tanpa melakukan pembaziran kepada perkara yang tidak mendatangkan faedah dan manfaat.






Seorang penjawat awam yang ditemui di salah sebuah pusat membeli-belah antara lain melahirkan rasa syukur atas bonus yang diberikan dan berkata, bonus berkenaan akan digunakan untuk membayar yuran persekolahan anak-anak sepanjang tahun terlebih dahulu barulah untuk keperluan lainnya.
“Saya juga ada membuat simpanan lain yang mana ini adalah untuk kegunaan bila adanya kecemasan seperti kerosakan kereta dan sebagainya,” kongsinya.
Beliau juga berpendapat, ada baiknya pendapatan lebih yang diperolehi untuk dikongsi dengan kedua-dua orang tua untuk mengambil keberkatannya dan jalankan tugas mengikut waktunya supaya hasil yang diterima mendapat keberkatan.
“Walaupun dengan adanya insentif yang diberikan ini, tetapi kita perlu juga berbelanja secara berhemat dan ‘ukur baju di badan sendiri’ iaitu berbelanja mengikut kemampuan,” katanya. Menyentuh mengenai pembukaan sempadan yang mana ramai memilih untuk bercuti di luar negara lebih-lebih lagi dengan adanya pemberian bonus, mungkin kurangnya tarikan di dalam negara untuk membawa anak-anak bercuti.
Dalam perkara ini, pihak berkenaan perlu membuat kajian supaya akan lebih ramai yang bercuti dan berbelanja di dalam negara sendiri berbanding di luar negara, seperti menambah jumlah tempat peranginan dan sesuai untuk cita rasa anak-anak dengan harga yang bersesuaian.
Sementara itu, salah seorang pekerja kedai yang ditemui, Jay pula berkata bahawa sempena dengan bonus ini dan bagi mengelak orang ramai berbelanja di luar negara, pihak pengurusan telah membuat beberapa promosi dengan jualan hujung tahun.
Dengan pembukaan sempadan sejak Ogos lepas, terdapat penurunan hasil jualan berbanding semasa sempadan belum lagi dibuka.
Melihat kepada penurunan hasil tersebut, pihak pengurusan telah mendatangkan produk dan barang-barang baharu sesuai cita rasa pelanggan selain barangan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan.

