BOSTON, 27 JAN – Sebuah hospital di Boston enggan melakukan pemindahan jantung ke atas pesakit yang belum diberi vaksin COVID-19, lapor media televisyen Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Jurucakap Hospital Brigham and Women’s mengesahkan dalam satu kenyataan kepada AFP bahawa vaksinasi terhadap COVID-19 ‘diperlukan’ untuk penerima pemindahan organ di sana.
Bapa pesakit, David Ferguson, muncul di saluran berita CNN dan ABC untuk berkongsi kisah keluarga itu, berkata anak lelakinya yang berusia 31 tahun berada ‘di ambang kematian’ dan ‘sangat terdesak’ menunggu pemindahan jantung.
Pesakit itu, yang telah beratur untuk pemindahan di hospital Boston, telah menolak untuk menerima vaksin COVID-19.
“Ia agak bertentangan dengan prinsip asasnya, dia tidak mempercayainya,” kata Ferguson kepada ABC.
“Ia adalah dasar yang mereka laksanakan dan kerana dia tidak akan mendapat suntikan, mereka mengeluarkannya daripada senarai pemindahan jantung,” kata bapanya. – AFP
