ALOR SETAR, 4 JAN – Lima nelayan tempatan selamat selepas bot mereka karam akibat dilanggar sekumpulan jerung paus berhampiran Pulau Balar, dekat Langkawi, malam tadi.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Romli Mustafa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 7:30 malam daripada seorang pengadu yang memaklumkan bot dinaiki rakannya dikhuatiri karam.
“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah menggerakkan Bot Kilat 6 untuk mengesan bot berkenaan. Kesemua nelayan berusia antara 23 hingga 58 tahun itu berjaya diselamatkan oleh bot nelayan lain yang berada berhampiran lokasi kejadian.
“Mereka memaklumkan bot terbabit terbelah dua akibat dilanggar sekumpulan jerung paus yang berada di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama