Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Bot penambang Ah Seng masih setia berkhidmat

    TELUK INTAN – Setiap hari bermula seawal 7 pagi hingga 7 malam, kelibat bot penambang milik Lee Lam Seng, 62, akan berulang-alik mengambil penumpang dari Jeti Pokok Asam di pekan Teluk Intan ke Jeti Kampung Cina, Seberang Perak yang berjarak sekitar 600 meter di Sungai Perak.

    Biarpun hanya satu-satunya pengusaha bot penambang yang masih beroperasi di jeti berkenaan dan sepanjang pesisir Sungai Perak, anak jati Teluk Intan itu yang mesra disapa Ah Seng tetap mengerah kudrat demi kelangsungan hidupnya sekeluarga.

    “Kalau diikutkan dari usia sembilan tahun lagi, saya telah membantu mendiang bapa melakukan kerja ini (pengusaha bot penambang). Apabila bapa meninggal, saya teruskan kerja juga kerana ini satu-satunya kerja yang saya mahir.

    “Saya tak pernah rasa jemu atau mahu berhenti melakukan kerja ini. Selagi sihat tubuh badan, selagi itulah saya akan bekerja kerana ini adalah mata pencarian saya untuk meneruskan hidup,” katanya ketika ditemui Bernama di Jeti Pokok Asam.

    Ah Seng berkata pada era 60an hingga awal 90an terdapat ramai individu mengusahakan perkhidmatan bot penambang di Jeti Pokok Asam kerana pada waktu itu ramai penduduk di Teluk Intan mahupun Seberang Perak menggunakan bot penambang untuk urusan kerja atau mencari barang keperluan harian.

    Pelanggan menaiki motosikal setelah sampai di Jeti Pokok Asam, pekan Teluk Intan pada 22 Disember 2023. – Bernama
    Ah Seng memimpin tangan pelanggannya ketika menaiki bot di Jeti Pokok Asam, pekan Teluk Intan untuk ke Jeti Kampung Cina, Seberang Perak. – Bernama
    Gambar Bernama
    Ah Seng membawa penumpang berulang-alik dari Jeti Pokok Asam di pekan Teluk Intan ke Jeti Kampung Cina, Seberang Perak dengan jarak sekitar 600 meter di Sungai Perak sejak 1970. – Bernama

    “Namun, apabila zaman berubah dan pada masa yang sama ramai yang mampu memiliki kenderaan sendiri terutama kereta, maka permintaan terhadap perkhidmatan ini semakin berkurangan dan banyak pengusaha yang gulung tikar serta beralih kepada perniagaan lain,” katanya.

    Menurut Ah Seng, faktor lain yang menyebabkan perkhidmatan bot berkenaan semakin dilupakan ialah kerana kewujudan jambatan Sultan Yusof di Jalan Sitiawan-Teluk Intan serta jambatan menghubungkan laluan Kampung Gajah ke Teluk Intan.

    “Bagaimanapun, masih ada dalam kalangan penduduk sekitar menggunakan perkhidmatan bot penambang saya kerana ia lebih menjimatkan masa berbanding jika menggunakan laluan darat yang melalui kedua-dua jambatan itu,” katanya.

    Bapa kepada dua cahaya mata itu menjelaskan selain membawa penumpang, bot berusia lebih empat dekad itu juga menawarkan perkhidmatan sama terhadap kenderaan ringan seperti motosikal.

    Setiap penumpang katanya, dikenakan caj 70 sen manakala RM1 jika membawa basikal atau motosikal bagi perjalanan sehala.

    “Kapasiti maksimum bagi bot ini ialah kira-kira 15 penumpang dan 10 motosikal. Dalam sehari, saya mampu menjana pendapatan sekitar RM100 hingga RM250 bergantung kepada keadaan,” katanya, menambah mampu memperoleh lebih pendapatan pada hujung minggu.

    Seorang penumpang, Suhaimi Asnahar, 48, dari Felcra Changkat Lada berkata dia kerap menggunakan perkhidmatan bot penambang itu kerana ia lebih menjimatkan masa dan wang.

    “Kalau ikut jalan darat dari kediaman saya di Felcra Changkat Lada ke Teluk Intan akan mengambil masa kira-kira lebih satu jam dengan jarak kira-kira 60 kilometer (km).

    “Kalau naik bot penambang, hanya ambil masa sekitar 30 minit untuk sampai ke Teluk Intan. Tambang yang dikenakan juga murah iaitu hanya serendah RM1 sahaja bagi perjalanan sehala,” katanya.

    T Moorthy, 50, pula berpandangan mana-mana agensi kerajaan perlu membantu Ah Seng dalam mengekalkan perkhidmatan bot penambang itu sekali gus menjadikannya sebagai satu daripada produk pelancongan di bandar ini.

    “Saya rasa bot ini unik dan kalau boleh ada pihak khususnya agensi pelancongan dapat melihat perkara ini untuk tindakan lanjut.

    “Ia perlu dikekalkan kerana selain menjadi perkhidmatan sampingan untuk penduduk di Teluk Intan dan Seberang Perak, ia juga boleh dipromosikan sebagai satu daya tarikan pelancongan selain Menara Condong dan Pulau Bangau,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...