KUALA LUMPUR, 29 OKT – Pemain Perancis, Celine Boutier melalui detik penuh dramatik dalam saingan ‘play-off’ sembilan lubang sebelum mengecewakan pemain muda Thailand, Atthaya Thitikul untuk meraih kejuaraan sulung Golf Maybank 2023 di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) di Bukit Kiara, di sini hari ini.
Pertarungan menentukan juara kejohanan bernilai AS$3 juta (kira-kira RM14.34 juta) itu cukup mendebarkan penonton apabila Boutier terikat dengan catatan 21 bawah par 267 pukulan dengan Atthaya selepas pusingan akhir.
Terdahulu, Boutier, pemain nombor lima dunia, di tempat kelima membenam lapan birdie untuk melonjak ke tempat teratas sementara Atthaya, pemain nombor 13 dunia, mencatatkan lima birdie dan satu bogey untuk terikat kedudukan sebelum diheret ke saingan ‘play-off’.
Kedua-dua pemain ‘tidak dapat dipisahkan’ apabila melakukan pukulan par di lubang ke-18 pada dua ‘play-off’ pertama sebelum aksi ditangguhkan selama sejam susulan cuaca hujan sebelum disambung semula play-off ketiga di lubang ke-15 menyaksikan kedua-dua melakukan pukulan par.
Boutier, 29, dan Atthaya, 20, meneruskan aksi cemerlang apabila masing-masing melakukan pukulan birdie di play-off keempat di lubang ke-18 dan par di lubang ke-15, 18, 15 dan birdie di lubang ke-18.
Bagaimanapun, Boutier berjaya muncul pemain pertama merangkul empat gelaran dalam siri Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) tahun ini apabila melakukan birdie sementara Atthaya melakukan pukulan par di lubang ke-15.
Pukulan birdie itu membolehkan Boutier dijulang selaku juara dan membawa pulang hadiah wang tunai AS$450,000 (kira-kira RM2.15 juta) serta memperoleh 30 mata untuk mengungguli carta kedudukan Pemain Terbaik Rolex.
Atthaya, selaku naib juara menerima AS$282,976 (RM1.52 juta). – Bernama