Tuesday, April 29, 2025
27.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brazil desak pengunduran Israel dari Gaza

    MEXICO CITY, 29 APRIL – Menteri Luar Brazil menggesa pengunduran tentera Israel dari Gaza semasa mesyuarat BRICS kelmarin di Rio de Janeiro, lapor Anadolu Ajansi.

    Perhimpunan Menteri-menteri luar dari blok BRICS yang diketuai oleh Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan bersama beberapa negara lain diadakan sebagai tindak balas terhadap langkah unilateral yang dikenakan oleh Amerika Syarikat dan konflik global yang berterusan.

    Dalam ucapan pembukaannya, Menteri Luar Mauro Vieira menyeru agar gencatan senjata di Palestin segera dilaksanakan, dengan berkata: “Sambungan pengeboman Israel ke atas Gaza dan halangan berterusan terhadap bantuan kemanusiaan adalah tidak boleh diterima. Kegagalan gencatan senjata yang diumumkan pada 15 Januari amat dikesali.”

    Sejak 7 Oktober 2023, tentera Israel melancarkan serangan bersenjata terhadap rakyat Palestin. Serangan udara terbaharu mengorbankan 17 orang di utara Gaza, menurut kumpulan Palestin, Hamas.

    “Adalah penting untuk memastikan pengunduran sepenuhnya pasukan Israel dari Gaza, memastikan pembebasan semua tawanan dan tahanan, serta memastikan kemasukan bantuan kemanusiaan,” kata Vieira.

    Vieira turut menyeru penyelesaian secara aman terhadap perang Rusia-Ukraine, yang kini memasuki tahun keempat.

    “Kami kekal komited untuk terus berusaha mencapai keamanan dan penyelesaian politik terhadap konflik ini,” katanya.

    Beliau juga menekankan peranan strategik BRICS dalam diplomasi global.

    “Dengan 11 negara anggota yang mewakili hampir separuh daripada penduduk dunia serta kepelbagaian geografi dan budaya, BRICS berada pada kedudukan unik untuk mempromosikan keamanan dan kestabilan berasaskan dialog, pembangunan dan kerjasama pelbagai hala,” kata Vieira. – Bernama/Anadolu

    Mauro Vieira berucap semasa mesyuarat BRICS di Istana Itamaraty di Rio de Janeiro kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda