Wednesday, February 19, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    BruHealth dikemas kini

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Kementerian Kesihatan memaklumkan kepada orang ramai bahawa aplikasi BruHealth sedang dikemas kini dengan beberapa ciri dan penambahbaikan baharu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan hari ini, penambahbaikan tersebut bertujuan untuk menjadikan aplikasi BruHealth lebih mesra pengguna dan menyediakan lebih banyak maklumat serta kemudahan.

    Antara penambahbaikan utama yang telah diperbaiki dan dipertingkatkan adalah User Interface (UI); Temu Janji; Artikel-artikel Kesihatan; dan Halaman Perubatan.

    Dalam aplikasi berkenaan, UI diperbaharui untuk pengalaman pengguna yang lebih baik dengan ciri yang moden dan lebih mesra pengguna. UI baharu ini akan memudahkan pengguna untuk mendapatkan maklumat dan ciri-ciri yang diperlukan.

    Sementara itu, di halaman utama BruHealth kini akan dapat memaparkan temu janji yang ditempah dan status menunggu giliran pesakit. Maklumat tersebut kini lebih mudah diakses dan pengguna akan dapat melihat status temu janji mereka dan membantu mereka untuk datang tepat pada masa perjanjian.

    Orang ramai diingatkan untuk mengemas kini aplikasi BruHealth di telefon masing-masing ke versi yang terkini. – Gambar oleh Nurdiyanah R.

    Di samping itu, aplikasi BruHealth kini dapat mengesyorkan dan mencadangkan artikel-artikel kesihatan yang disesuaikan dengan minat pengguna. Ciri ini akan dapat membantu pengguna mencari maklumat yang mereka inginkan dengan lebih mudah.

    Bagi Halaman Perubatan pula, ia telah diperbaharui terutamanya dalam maklumat komprehensif mengenai perkhidmatan perubatan dalam talian yang tersedia. Halaman ini memberikan maklumat mengenai tempahan temu janji ke atas klinik-klinik dan perkhidmatan-perkhidmatan. Pengguna juga akan dapat menggunakan ciri Kad Elektronik Bru-HIMS bagi memudahkan pengguna membuat pendaftaran di mana-mana pusat-pusat kesihatan.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataan turut mengongsikan bahawa ciri BN on the MOVE 2023 juga diperkenalkan. Program berkenaan dikendalikan sekali lagi pada tahun ini bagi mempromosikan kegiatan fizikal dengan menggalakkan orang ramai berjalan kaki dan meningkatkan kiraan langkah harian mereka.

    Ciri ini juga akan membolehkan individu untuk melaporkan pelbagai jenis kegiatan fizikal yang lain, seperti aktiviti sukan dan senaman aerobik. Selain itu, program ini akan menyediakan cabaran-cabaran yang boleh disertai secara individu dan berpasukan serta pelbagai insentif digital dan fizikal apabila individu dan pasukan memenuhi sasaran kegiatan fizikal yang tertentu.

    Dalam hubungan ini, Kementerian Kesihatan juga akan melancarkan Kempen 80 Bilion Langkah Bersama iaitu satu cabaran besar-besaran di peringkat negara untuk bersama-sama mencapai 80 bilion langkah dalam masa empat bulan yang akan berakhir pada bulan Disember 2023. Inisiatif ini akan bermula dari 20 Ogos di mana pendaftaran awal akan mula dibuka pada 8 Ogos di dalam aplikasi BruHealth bagi mereka yang ingin menyertai kempen tersebut.

    Orang ramai adalah diingatkan untuk mengemas kini aplikasi BruHealth masing-masing ke versi yang terkini dan seterusnya dialu-alukan untuk menyertai majlis pelancaran kempen tersebut yang akan diadakan pada 20 Ogos di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien pada jam 6:30 pagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda