Monday, January 6, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei-Bahrain kukuh kerjasama, meterai 6 MoU

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Negara Brunei Darussalam dan Kingdom of Bahrain hari ini mengukuhkan kerjasama dua hala melalui pemeteraian enam perjanjian persefahaman (MoU) pada majlis yang berlangsung di Gudaibiya Palace, Manama, Kingdom of Bahrain.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Raja Kingdom of Bahrain, His Majesty King Hamad bin Isa Al Khalifa telah berkenan berangkat menyaksikan pemeteraian MoU tersebut.

    Berangkat sama mengiringi Baginda Sultan ke majlis itu dan majlis-majlis lain ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah memulakan Keberangkatan Negara ke Kingdom of Bahrain dengan berangkat ke Majlis-majlis Sambutan Negara; Perjumpaan bersama His Majesty King Hamad, Penandatanganan dokumen-dokumen Perjanjian dan Santap Negara.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dialu-alukan oleh His Majesty King Hamad pada Majlis Sambutan Negara di Gudaibiya Palace, Manama. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Baginda Sultan berkenan menerima pesambah daripada His Majesty King Hamad.
    Keberangkatan tiba KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di perkarangan Gudaibiya Palace yang dialu-alukan oleh His Majesty King Hamad. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menghadiri Majlis Perjumpaan dengan His Majesty King Hamad di Gudaibiya Palace, Manama. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Baginda Sultan dan His Majesty King Hamad berbual mesra menuju ke Majlis Santap Negara. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah daripada pembesar-pembesar Kingdom of Bahrain sebelum Majlis Santap Negara.

    ATAS & BAWAH: Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah daripada pembesar-pembesar Kingdom of Bahrain sebelum Majlis Santap Negara.

    Majlis Sambutan Negara; Majlis Perjumpaan bersama His Majesty King Hamad

    Majlis Sambutan Negara telah berlangsung di Gudaibiya Palace, Manama.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Palace tersebut dijunjung dan diiringi oleh Putera Mahkota dan Perdana Menteri Kingdom of Bahrain, His Royal Highness Prince Salman bin Hamad Al Khalifa.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di perkarangan Gudaibiya Palace dialu-alukan oleh His Majesty King Hamad dan bermula apabila kedua-dua pemimpin menaiki pentas khas untuk menerima tabik hormat diiringi dengan lagu kebangsaan kedua-dua
    buah negara dan 21 das tembakan meriam.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya disembahkenalkan kepada pembesar-pembesar Kingdom of Bahrain manakala His Majesty Raja Kingdom of Bahrain pula disembahkenalkan kepada ahli rombongan rasmi Negara Brunei Darussalam.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menghadiri Majlis Perjumpaan bersama His Majesty King Hamad dan kerabat diraja Kingdom of Bahrain.

    Majlis Penandatanganan dokumen-dokumen Perjanjian

    Selepas majlis perjumpaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan His Majesty Raja Kingdom of Bahrain menyaksikan majlis penandatanganan enam dokumen perjanjian di antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan kerajaan Kingdom of Bahrain iaitu:

    1. MoU antara Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Brunei dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Kingdom of Bahrain mengenai Rundingan Politik

    MoU telah ditandatangani oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kebangsaan Kingdom of Bahrain, Tuan Yang Terutama Shaikh Salman bin Khalifa Al-Khalifa.

    Melalui MoU tersebut, kedua-dua pihak akan mengadakan perundingan secara tetap untuk membincangkan modaliti bagi meluaskan dan mengukuhkan kerjasama serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu antarabangsa yang berkepentingan bersama.

    Rundingan akan dibuat di peringkat menteri luar negeri atau di peringkat lain yang dipersetujui bersama sebelum bermulanya setiap perundingan. Ia juga akan diadakan setiap dua tahun atau seperti yang difikirkan perlu secara bergilir-gilir di Bandar Seri Begawan dan Manama atau di negara ketiga di mana kedua-dua pihak hadir semasa persidangan atau mesyuarat antarabangsa.

    2. MoU dalam Bidang Hal Ehwal Wanita

    Menandatangani MoU ini bagi Brunei ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad manakala Bahrain diwakili oleh Setiausaha Agung Majlis Tinggi bagi Wanita, Hala bint Mohammed Jaber al-Ansari.

    Perjanjian akan menggalakkan pertukaran kepakaran dan pengalaman-pengalaman yang berjaya dalam bidang yang berkaitan dengan kemajuan wanita, serta peluang-peluang yang sama antara lelaki dan wanita; mengaktifkan perkongsian serta bidang kerjasama lain yang dipersetujui bersama seperti pembangunan keusahawanan dan melaksanakan program pembangunan mengikut keutamaan kedua-dua belah pihak.

    3. MoU Kerjasama dalam Bidang Media

    Mewakili Brunei menandatangani MoU ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Bahrain pula diwakili oleh Menteri Penerangan, TYT Dr Ramzan bin Abdulla Al-Noaimi.

    Ia dijangka menggalakkan kerjasama media, antara lainnya, pertukaran lawatan pakar, media dan delegasi akhbar antara kedua-dua buah negara; kursus latihan; penyelidikan dan analisis statistik; promosi dan pemasaran media; serta pertukaran bahan media yang berkaitan dengan topik politik, ekonomi, sosial, budaya, sejarah, pelancongan dan sukan.

    4. MoU Kerjasama Kebudayaan

    MoU disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dan TYT Dr Ramzan.
    Di bawah MoU ini, kedua-dua pihak akan menggalakkan perancangan untuk menganjurkan Minggu Kebudayaan di negara masing-masing melalui, antara lainnya, konsert muzik, pameran buku dan pameran seni; serta meningkatkan kerjasama dalam bidang sains, seni dan kesusasteraan, arkeologi, amalan muzikologi, etnologi dan pemuliharaan.

    5. MoU dalam Bidang Pendidikan Am, Teknikal dan Tinggi

    Mewakili Brunei bagi penandatanganan MoU ini ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh manakala Bahrain diwakili oleh Menteri Pen-didikan, TYT Dr Mohamed bin Mubarak Juma.

    Melaluinya, kedua-dua pihak akan menyokong pertukaran maklumat dan bahan pendidikan, serta lawatan dan kepakaran dalam program-program pendidikan; dan penyertaan dalam atau penganjuran bersama bengkel, persidangan, seminar, simposium dan acara pendidikan yang dipersetujui oleh kedua-dua negara.

    6. Inisiatif Data Sovereignty

    Bagi dokumen ini, ia ditandatangani oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew untuk kerajaan Brunei dan TYT Shaikh Salman bin Khalifa Al-Khalifa bagi kerajaan Bahrain.

    Dokumen bertujuan untuk mewujudkan usaha bersama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi, dan berasaskan hubungan kukuh antara kedua-dua buah negara, kerajaan Kingdom of Bahrain memberikan Negara Brunei Darussalam hak kuasa ke atas maklumat dan data entiti-entitinya yang disimpan dalam pusat-pusat cloud computing yang terletak di Kingdom of Bahrain.

    Majlis Santap Negara

    Sempena Keberangkatan Negara ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Negara yang dihoskan oleh His Majesty King Hamad di Gudaibiya Palace.

    Majlis Santap Petang dan Santap Malam

    Selepas majlis di Gudaibiya Palace, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah menghadiri beberapa majlis secara berasingan iaitu Majlis Santap Petang yang dihoskan oleh His Majesty King Hamad bersama kerabat diraja Kingdom of Bahrain; dan Santap Malam yang dihoskan oleh His Royal Highness Prince Salman.

    Sebelum Santap Malam diadakan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengadakan perjumpaan dengan His Royal Highness Prince Salman.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda