Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei berpotensi tarik Pelancong Korea

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Ketika ini, pelancong-pelancong Korea lebih cenderung untuk melancong ke destinasi pelancongan yang bersih dan selamat, lebih-lebih lagi selepas pandemik COVID-19.

    Dengan keindahan, keamanan dan kebersihan persekitaran Negara Brunei Darussalam, adalah tidak mustahil untuk menjadikan faktor-faktor berkenaan sebagai tarikan bagi pelawat dan pengunjung dari luar negara terutamanya Korea untuk berkunjung ke Brunei sebagai destinasi pelancongan pilihan mereka.

    Perkara itu diutarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tripbtoz, Jung Jiha ketika menyampaikan pembentangan sesi pertama bertajuk Case Analysis: How to attract Korean market through online tools, semasa Bengkel Pembangunan Kapasiti Pusat ASEAN-Korea yang berlangsung di Hotel Radisson, hari ini.

    Hadir menyempurnakan perasmian bengkel itu ialah Setiausaha Agung Pusat ASEAN-Korea, Tuan Yang Terutama Kim Hae-yong serta tetamu kehormat, Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Hajah Dahliana binti Haji Aliakbar.

    Jung Jiha turut menyatakan amat kagum dengan sifat peramah masyarakat Brunei dan beliau menambah sifat peramah serta mesra masyarakat Brunei juga boleh digunakan sebagai tarikan pelancong terutamanya pelancong dari Korea.

    Jung Jiha semasa menjelaskan mengenai pa-saran Korea kepada para peserta bengkel.
    TYT Kim Hae-yong dan Hajah Dahliana bergambar ramai dengan pakar pelancongan Korea semasa majlis berkenaan.

    Terdahulu dalam kata alu-aluannya, TYT Kim Hae-yong menerangkan Pusat ASEAN-Korea telah menganjur Bengkel Pembangunan Kapasiti Pelancongan ASEAN-Korea sejak 2009 untuk membantu profesional pelancongan tempatan meningkatkan kapasiti dan kefahaman mereka mengenai trend pelancongan Korea.

    Bengkel yang diadakan tahun ini, tambahnya, membawa makna yang lebih mendalam kerana ia merupakan bengkel bersemuka pertama yang diadakan sejak pandemik COVID-19 melanda industri pelancongan seluruh dunia.

    Tidak dapat dinafikan pandemik telah memberi kesan setiap sudut kehidupan kita, jelasnya lagi, dengan sektor pelancongan tidak terkecuali terjejas teruk.

    Seperti mana-mana negara seluruh dunia, jumlah ketibaan pelancong ke Brunei turut menjunam sebanyak 94 peratus pada 2021 berbanding dengan 2019.

    Sebab itu, TYT Kim Hae-yong menekankan pentingnya pendigitalan bagi industri pelancongan dan perlunya industri berkenaan untuk bergerak daripada model perniagaan tradisional menuju kepada industri yang lebih inklusif, mampan dan inovatif.

    Dalam hubungan itu, beliau menggariskan bengkel tersebut menawarkan pandangan dan pengetahuan praktikal berhubung operasi perniagaan dan pengurusan pemasaran digital dalam sektor pelancongan.

    Di samping itu, ia juga membolehkan para peserta untuk memanfaatkan perkhidmatan berasaskan teknologi inovatif yang bersesuaian dalam konteks Negara Brunei Darussalam.

    Bengkel disertai seramai 70 peserta itu terdiri daripada para pegawai Jabatan Kemajuan Pelancongan, premis penginapan pelancong, institusi pengajian tinggi, ejen pelancongan, operator pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana, penyedia perkhidmatan pelancongan berasaskan komuniti serta pihak-pihak yang berkepentingan di Brunei.

    Bengkel sehari itu menyaksikan pembentangan daripada pakar pelancongan Korea yang membentangkan mengenai dengan cabaran dan menerima pakai penyelesaian digital dan inovatif dalam perniagaan, manfaat pendigitalan dan latihan bagi penyedia perkhidmatan pelancongan berasaskan komuniti.

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda