Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei catat kes baharu terendah sejak gelombang ketiga

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan 61 kes baharu jangkitan COVID dilaporkan hari ini.

    Daripada kes tersebut, 58 kes adalah hasil ujian ART dan tiga kes adalah hasil daripada 596 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

    “Oleh itu, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam setakat ini ialah 141,911 kes,” katanya.

    Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    Yang Berhormat Dato kemudian menerangkan bahawa tidak ada kes yang dikategorikan dalam kategori 5 yakni mereka yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU).

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menghadiri sidang media tersebut bertempat di Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Manakala satu kes sedang berada di kategori 4 yakni mereka yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

    “Sebanyak 130 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 141,022 kes.

    “Jumlah kes aktif pula ialah sebanyak 671 kes iaitu 12 kes sedang dirawat di hospital manakala 659 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Selain itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan sebanyak 1,040 dos vaksin COVID telah diberikan kepada kanak- kanak berumur lima hingga 11 tahun, kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama kepada 21,687 dos iaitu 50.5 peratus. Manakala, sebanyak 911 dos kedua vaksin COVID telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun yang membawa kepada jumlah dos kedua yang diberikan kepada kanak-kanak di dalam kumpulan umur itu kepada 2,005 dos iaitu 4.7 peratus.

    Beliau turut mengongsikan liputan bagi penduduk negara ini yang telah menerima tiga dos vaksin iaitu pada kadar 65.6 peratus.

    Sebagai persiapaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, beliau mengingatkan orang ramai untuk terus mengamalkan langkah-langkah berjaga-jaga sebelum keluar rumah untuk berkunjung ke rumah keluarga.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda