Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei-China kukuhkan hubungan diplomatik

    Oleh Sim Y.H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China terus mengukuhkan hubungan dua hala dengan mengembangkan lagi kerjasama praktikal, pertukaran budaya dan pertukaran di antara warga kedua-dua buah negara.

    Pada 2023, Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China menandakan ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik di antara kedua-dua buah negara ke-32 dan ulang tahun ke-5 penubuhan bagi kerjasama strategik.

    Mengimbas kembali kepada perkembangan hubungan dua hala berkenaan, dapat disimpulkan beberapa pengalaman yang penting daripada hubungan erat berkenaan iaitu kepercayaan politik, kerjasama praktikal, pertukaran di antara warga kedua-dua buah negara serta koordinasi dan kerjasama yang kukuh dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa.

    Perkara itu dijelaskan oleh bakal Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo semasa taklimat bersama media yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.

    Menjelaskan lanjut mengenai dengan kesimpulan berkenaan, TYT Xiao Jianguo berkata bahawa diplomasi pemimpin negara membantu untuk membimbing hubungan dua hala kedua-dua buah negara dengan pertukaran peringkat tinggi memainkan peranan penting dalam mempromosikan hubungan serta meningkatkan kepercayaan strategik bersama.

    TYT Xiao Jianguo menyampaikan ucapan mengenai hubungan Brunei dan China semasa majlis taklimat media yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, baru-baru ini.
    TYT Xiao Jianguo bergambar ramai bersama pengamal-pengamal media dalam majlis taklimat media yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, baru-baru ini.

    Beliau menyatakan lagi bahawa China akan terus bekerjasama dengan Brunei untuk melaksanakan konsensus yang penting, mengukuhkan pertukaran peringkat tinggi, mendalamkan kepercayaan politik serta melakar lembaran baharu dalam hubungan China-Brunei.

    Sementara itu, mengulas mengenai dengan kerjasama praktikal di antara kedua-dua buah negara, TYT Xiao Jianguo menyatakan bahawa ia merupakan tunggak kepada pembangunan hubungan dua hala di mana sejak penubuhan hubungan diplomatik khususnya penandatangan-an memorandum persefahaman bagi kerjasama Jalur dan Laluan, kerjasama praktikal dalam pelbagai bidang terus berkembang.

    Pada 2022, jelasnya, volum perdagangan dua hala telah mencapai pertumbuhan tahun-ke-tahun sebanyak 7.5 peratus kepada AS$3.08 bilion sejak penubuhan hubungan diplomatik serta mencatatkan paras baharu dalam sejarah.

    Tuan Yang Terutama berkata bahawa Hengyi Industries telah membuat sumbangan yang penting kepada Brunei dengan mempromosikan penaik taraf industri, meningkatkan pekerjaan dan mempelbagaikan pembangunan ekonomi.

    Di samping itu, projek-projek di bawah Koridor Ekonomi Brunei-Guangxi seperti Pelabuhan Muara dan Hiseaton Fisheries juga berkembang dengan pesat serta menambah bahawa hubungan antara Brunei dan China bukan sahaja mempromosikan pertumbuhan perdagangan dua hala tetapi ia juga mempromosikan pertumbuhan di antara Brunei dengan negara-negara lain.

    Manakala itu, menyentuh mengenai dengan pertukaran di antara warga kedua-dua buah negara, TYT Xiao Jianguo berkata ia merupakan asas kukuh kepada hubungan Brunei-China di mana persahabatan itu lahir daripada hubungan rapat di antara warga kedua-dua buah negara yang menjadi kunci kepada hubungan negara ke negara yang kukuh.

    Beliau menyatakan bahawa kedua-dua buah negara mempunyai kerjasama yang ekstensif dalam bidang kebudayaan, pendidikan, sukan, pelancongan dan belia di mana hubungan persahabatan itu diperkukuhkan lagi menerusi usaha bersama menentang pandemik COVID-19.

    TYT Xiao Jianguo yakin bahawa lebih ramai pelancong dari kedua-dua buah negara akan melawat di antara satu sama lain bagi tujuan melancong dan pertukaran di mana ia akan menyuntik dorongan kepada pertukaran warga dan pelancongan serta pemulihan ekonomi serantau.

    Beliau berkata lagi bahawa pada 2023, Kedutaan China akan melancarkan sebuah siri program pertukaran warga Brunei-China termasuk menganjurkan lawatan media, pegawai belia dan guru untuk melawat China serta bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mengembangkan lagi Rak Buku China di universiti-universiti yang relevan, sekolah-sekolah menengah dan rendah untuk menyediakan buku mengenai perkembangan, budaya dan sejarah China.

    Pada masa yang sama, Kedutaan Republik Rakyat China juga akan terus mengadakan majlis seperti Hari China dan Anugerah Duta China untuk menyediakan platform bagi warga Brunei untuk mempelajari lebih mendalam mengenai serta mengalami budaya China.

    TYT Xiao Jianguo seterusnya menerangkan bahawa kerjasama dan penyelarasan yang baik dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa menyediakan platform yang baik bagi Brunei dan China untuk mendalami lagi hubungan dua hala serta mempromosikan pembangunan bersama.

    Beliau berkata bahawa kedua-dua buah negara amat menghormati minat dan kebimbangan utama antara satu sama lain serta mempunyai koordinasi dan kerjasama yang rapat di peringkat serantau dan antarabangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda