Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Negara Brunei Darussalam menduduki tempat ke-3 dalam semua domain di kalangan negara-negara ASEAN yang menyertai Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2018 setelah keputusan PISA 2018 untuk 79 buah negara peserta dan ekonomi dikeluarkan oleh Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) di Paris, Perancis, hari ini.
Secara keseluruhannya, Negara Brunei Darussalam berada di tangga ke-60 untuk bacaan, tangga ke-51 untuk matematik dan tangga ke-50 untuk sains, jelas Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin (gambar bawah) dalam Sidang Media bagi Pencapaian Negara Brunei Darussalam dalam PISA 2018 di Dewan Persidangan Utama (P1), Kementerian Pendidikan, hari ini.
Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati seterusnya menerangkan bahawa PISA telah dapat memberikan gambaran mengenai kompetensi penduduk di negara ini yang berusia 15 tahun dalam bacaan, matematik dan sains.
Data daripada PISA juga telah menjana indeks Status Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan (ESCS) yang membolehkan negara mengukur kesaksamaan dalam pendidikan dan kesejahteraan pelajar.
“Ini akan dapat membantu menilai pencapaian negara dalam memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan ke-4 (SDG4) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu untuk memastikan pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua,” jelasnya.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman dan Pengarah Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan, Kementerian Pendidikan, Dr Hazri bin Haji Kiple.
Menurut Dr Shamsiah lagi, PISA 2018 juga menyaksikan penyertaan Negara Brunei Darussalam buat julung kalinya dalam penilaian berskala besar di peringkat antarabangsa dengan 600,000 orang pelajar mewakili 32 juta orang kanak-kanak dunia berumur 15 tahun telah mengikuti kajian berkenaan.
Bagi Brunei, ia melibatkan hampir semua pelajar berumur 15 tahun iaitu sejumlah 6,828 orang pelajar di 55 buah sekolah menengah di seluruh negara yang mana ia juga merupakan antara liputan tertinggi dalam PISA dan merangkumi sekolah-sekolah kerajaan, sekolah agama dan sekolah swasta.
Selaras dengan kriteria penilaian, medium pengajaran di sekolah akan menentukan bahasa penilaian dan Negara Brunei Darussalam adalah salah satu daripada hanya tiga buah negara ASEAN yang melaksanakan kajian berkenaan dalam Bahasa Inggeris.
Penganalisisan telah mendapati bahawa variasi indeks ESCS di dalam dan antara sekolah-sekolah di Brunei adalah seimbang yang bermakna, walaupun terdapat status sosioekonomi individu yang berbeza, semua pelajar di negara ini mempunyai akses yang baik untuk bersekolah.
Dalam pada itu, nisbah pelajar lelaki dan perempuan di seluruh negara adalah hampir sama dan pelajar perempuan mempunyai prestasi yang lebih baik daripada pelajar lelaki dalam ketiga-tiga domain.
Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati seterusnya menjelaskan bahawa dua dapatan daripada analisis ke atas kesaksamaan dalam pendidikan dan kesejahteraan pelajar turut diketengahkan di mana pertama, majoriti pelajar di Brunei mempunyai motivasi untuk belajar dan menjangka akan melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi serta kedua, dengan persekitaran pembelajaran yang betul, pelajar negara ini boleh mencapai prestasi yang lebih baik di sekolah dan berpotensi untuk berjaya dalam kerjaya mereka nanti.
Beliau turut menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan akan meneruskan usahanya mendukung sekolah dan guru dalam memperkasakan pengetahuan dan kemahiran selaras dengan objektif-objektif Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2018-2022.