Oleh Danial Norjidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Nisai Group Ltd (Nisai) dari United Kingdom secara rasminya telah melancarkan Hab Serantau Asia pertama di Negara Brunei Darussalam pada majlis yang diadakan di Perpustakaan Biro Bahasa dan Sastera di Bandar Seri Begawan, hari ini.
Berangkat menyempurnakan acara tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah.
Acara tersebut turut menyaksikan majlis penandatanganan kenyataan bersama antara Nisai dengan rakan kongsi tempatan, Syarikat Tenaga Bersatu (PTB) untuk menubuhkan Pusat Serantau Nisai-PTB (NPRC).
Penandatanganan itu disaksikan oleh Pengerusi PTB, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini bin Pengiran Dr Haji Mohd Yakub.
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan PTB, Pengiran FDr Hishamuddin Alli bin Pengiran Jaya Indera Pengiran Haji Mokhtar Puteh dan Ketua Pegawai Eksekutif Nisai Group UK FDr Dhruv Patel.


Menurut kenyataan tersebut, melalui usaha sama itu, NPRC akan menawarkan pendekatan dalam penyampaian program kemahiran teknikal dan vokasional untuk rantau ASEAN.
Nisai dan PTB juga berkongsi wawasan bersama untuk merealisasikan Negara Brunei Darussalam sebagai pusat kecemerlangan serantau dalam pendidikan dan latihan kemahiran di Asia.
Kenyataan itu seterusnya menyatakan melalui Nisai Brunei, kualiti yang diakreditasi UK akan menjamin program pendidikan inovatif di rantau Asia. Nisai Brunei akan merekrut para tutor dari kalangan belia Brunei untuk menyampaikan program tersebut.
Menurut Pengarah Serantau Nisai Brunei FDr, Hajah Normawati binti Dato Paduka Haji Othman, “Dengan memanfaatkan potensi teknologi digital, penggunaan set pembelajaran berasaskan talian telah mengubah cara untuk pendidikan dan latihan bagi mencapai asas yang lebih baik.”
Sementara itu, Pengiran FDr Hishamuddin Alli dalam ucapannya berkata, “Melalui usaha sama dengan Nisai (B) dan NNRC, InsyaAllah PTB akan memulakan perjalanan seterusnya di mana kami akan menawarkan akreditasi dan pensijilan antarabangsa untuk kemahiran teknikal dan vokasional melalui Rangkaian Kolej Terbuka Kebangsaan (NOCN) UK.”