Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei hadiri AMER9, IEW 2023

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menghadiri Mesyuarat Meja Bulat Menteri-menteri Tenaga Asia ke-9 (AMER9) dan Minggu Tenaga India 2023 (IEW 2023) yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Bangalore, Bengaluru, Republik India dari 6 hingga 8 Februari.

    Menurut kenyataan Jabatan Tenaga di JPM, hari ini, mengiringi Yang Berhormat Pehin ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik India, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha dan Pemangku Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra serta para pegawai dari Jabatan Tenaga.

    IEW 2023 yang dianjurkan oleh Kementerian Petroleum dan Gas Asli, Republik India merupakan edisi pertama acara tenaga utama India dengan membawa tema Pertumbuhan. Kolaborasi. Peralihan.

    Acara menyaksikan Perdana Menteri Republik India, Tuan Yang Terutama Shri Narendra Modi menyampaikan ucapan khas kelmarin di mana beliau menekankan usaha negara berkenaan untuk mempercepatkan peralihan tenaga dengan meningkatkan landskap hidrogen hijau dan menyeru pelabur-pelabur untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan hijau negara itu serta juga dalam penerokaan bahan api fosil.

    IEW 2023 merangkumi empat acara persidangan utama iaitu Persidangan Strategik, Sesi-sesi Eksekutif, Meja Bulat Kepimpinan dan Persidangan Teknikal yang menumpukan kepada isu-isu sekuriti tenaga dan cabaran-cabarannya serta juga permintaan tenaga selaras dengan ekonomi Asia yang membangun.

    Yang Berhormat Menteri di JPM bergambar ramai bersama TYT Shri Narendra Modi.
    Yang Berhormat Menteri di JPM semasa bertemu dengan TYT Dr Sultan.
    Yang Berhormat Pehin berjumpa dengan TYT Haitham Al-Ghais.
    Yang Berhormat Pehin bersama TYT Shri Hardeep Singh Puri.
    Gambar ramai semasa AMER9.

    Yang Berhormat Pehin menghadiri Sesi Menteri-menteri Persidangan Strategik dengan tema Strategi-strategi bagi Masa Depan Mampan dan Menyahkarbon yang menumpukan kepada peranan penggubal dasar dalam mempercepatkan penerima pilihan-pilihan rendah karbon termasuk tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik dan hidrogen serta dalam memastikan kolaborasi untuk mencapai masa hadapan rendah karbon dan jaminan tenaga.

    Perbincangan berkisar tentang penghantaran tenaga, inovasi dan pemindahan pengetahuan, akses dan jaminan tenaga untuk semua serta kerjasama dan laluan ke sifar bersih.

    AMER9 yang dihoskan oleh Kementerian Petroleum dan Gas Asli, Republik India dengan kerjasama Forum Tenaga Antarabangsa (IEF) telah diadakan hari ini dengan membawa tema Pemetaan Haluan Tenaga Stabil dan Terjamin: Sekuriti Tenaga, Keadilan, Pertumbuhan dan Inovasi.

    Perbincangan semasa AMER9 menyeru bagi pengukuhan dialog antara pengeluar dan pengguna untuk mempromosikan sekuriti tenaga dan menyokong kestabilan pasaran serta meningkatkan perdagangan dan pelaburan bagi kemapanan, kedayatahanan, keadilan dan sekuriti tenaga jangka panjang.

    Yang Berhormat Pehin juga menyampaikan kenyataan menteri semasa Sesi Pleno bagi Mengatasi Sekuriti Tenaga dan Cabaran Keadilan dalam Dunia Bergolak, di mana ia mengetengahkan inisiatif Negara Brunei Darussalam dalam meningkatkan sekuriti tenaga dalam memastikan akses kepada tenaga moden, mampan, boleh dipercayai dan mampu dimiliki serta strategi-strategi peralihan tenaga utama termasuk meningkatkan bahagian tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga keseluruhan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2035, khususnya melalui pembangunan solar berskala besar.

    Di luar kedua-dua acara itu, Yang Berhormat Pehin telah mengadakan perjumpaan dengan TYT Shri Hardeep Singh Puri, kelmarin.

    Semasa perjumpaan itu, kedua-dua belah pihak menghargai hubungan penting yang dikongsi antara Brunei dan India yang ditunjangi oleh persahabatan sekian lama dan kerjasama yang berkepentingan bersama serta berharap untuk meneroka lebih banyak peluang bagi mendalami lagi kerjasama tenaga.

    Yang Berhormat Pehin juga berpeluang untuk berjumpa dengan menteri-menteri lain yang menghadiri kedua-dua acara berkenaan termasuk Menteri Industri dan Teknologi Maju dan Utusan Khas bagi Perubahan Iklim, Emiriah Arab Bersatu, TYT Dr Sultan bin Ahmed Al Jaber di mana kedua-dua pihak merakamkan minat dalam menerokai kolaborasi serta berkongsi amalan terbaik khususnya dalam pembangunan tenaga bersih dan boleh diperbahrui.

    Yang Berhormat Pehin juga bertemu dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC), TYT Haitham Al-Ghais di mana kedua-dua belah pihak berkongsi pentingnya objektif bersama Deklarasi Kerjasama (DoC) Negara-negara OPEC dan Bukan OPEC bagi sebuah pasaran minyak stabil serta Presiden Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA), TYT Hidetoshi Nishimura di mana kedua-dua belah pihak berbincang potensi kolaborasi dalam pelbagai inisiatif tenaga berhubung kepada pembangunan tenaga mampan di Negara Brunei Darussalam.

    Majlis Makan Malam India Khas juga dijadualkan untuk diadakan malam bagi memberi peluang delegasi menteri-menteri untuk bertemu secara dua hala dan berangkaian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda