Tuesday, November 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei jadi tuan rumah APICTA 4 Disember ini

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran acara Anugerah Perikatan ICT Asia Pasifik (APICTA) 2024 yang akan berlangsung pada 4 hingga 7 Disember.

    Acara berprestij itu dikendalikan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan Persekutuan InfoCom Brunei Darussalam (IFB) yang menyerlahkan komitmen ne-gara dalam memupuk inovasi dan kecemerlangan teknologi.

    Pengumuman bagi penganjuran acara berkenaan telah diumumkan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Kerja Anugerah APICTA 2024 semasa sidang media APICTA 2024 yang berlangsung di Maklmal Inovasi Brunei (BIL), Bangunan Knowledge Hub (KHUB), Anggerek Desa, hari ini.

    Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), MTIC, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), MTIC, Haji Mohd Salihin bin Haji Aspar; Ketua Eksekutif AITI, Haji Jailani bin Haji Buntar; dan Pengerusi IFB, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff selaku Pengerusi Bersama II Jawatankuasa Kerja Anugerah APICTA 2024 dan Ketua Hakim Anugerah APICTA 2024.

    Anugerah APICTA yang diadakan setiap tahun merupakan platform persaingan yang meraikan inovasi dan kreativiti, melibatkan 17 ahli ekonomi daripada rantau Asia Pasifik iaitu Australia, Bangladesh, Brunei Darussalam, Republik Rakyat China, Chinese Taipei, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Macau, Malaysia, Myanmar, Nepal, Pakistan, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam.

    Ir. Haji Mohammad Nazri semasa mengumumkan bagi penganjuran acara tersebut. – GAMBAR OLEH FAISAL FADLEY
    GAMBAR OLEH FAISAL FADLEY
    GAMBAR OLEH FAISAL FADLEY

    Penganjuran Anugerah APICTA 2024 amat bermakna kerana ia bertepatan dengan ulang tahun Anugerah ICT Brunei (BICTA) ke-20, yang menandakan pencapaian penting dalam perjalanan digital negara.

    Kali terakhir Brunei menjadi tuan rumah Anugerah APICTA adalah pada 2012 yang memperkenalkan pelbagai inisiatif yang kini menjadi tradisi berharga dalam acara APICTA.

    Anugerah APICTA 2024 akan mempertandingkan sebanyak 35 kategori termasuk beberapa sub-kategori bagi Pengguna, Khidmat Kemasyarakatan dan Keikutsertaan, Perindustrian, Perkhidmatan Perniagaan, Sektor Awam dan Kerajaan, Penuntut Sekolah, Kategori Silang, dan Anugerah Teknologi.

    Di samping itu, Anugerah Pilihan Ramai yang turut dipertandingkan akan membolehkan orang ramai mengundi pemenang bagi Kategori Penuntut Senior dan Kategori Penuntut Pengajian Tinggi.

    Pelbagai acara menarik telah dirancang sepanjang berlangsungnya Anugerah APICTA 2024, termasuk sesi Business Networking dan Students Networking, yang menyediakan peluang pihak industri, ahli perniagaan dan pelajar serta bakat muda berhubung, berkongsi idea dan mencetuskan inovasi.

    Selain itu, pameran Digital Brunei, turut diadakan dan dibuka untuk kunjungan orang ramai yang berlangsung di Atrium, The Mall, Gadong, pada 4 hingga 6 Disember, yang akan menampilkan lebih daripada 50 agensi mempamerkan pelbagai inovasi merentasi sektor-sektor yang berbeza.

    Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menyokong penganjuran Anugerah APICTA 2024 dan menjadi sebahagian daripada komuniti yang saling menyokong usaha dalam memacu kemajuan teknologi digital di Negara Brunei Darussalam.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan aktiviti-aktiviti terkini acara APICTA 2024, bolehlah mengikuti Instagram apicta.awards atau melayari laman apicta2024.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda