Thursday, February 27, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei, Jepun raikan 40 tahun hubungan diplomatik

    Oleh: Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Negara Brunei Darussalam dan Jepun terus menikmati hubungan dua hala yang berpanjang dan cemerlang sejak kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada 1984.

    Jepun telah menubuhkan hubungan diplomatik dengan Brunei dan membuka kedutaannya di Brunei pada tahun berkenaan di mana kedua-dua buah negara telah meraikan ulang tahun hubungan diplomatik ke-40 pada 2024.

    Perdagangan dan pelaburan khususnya dalam sektor tenaga telah menjadi pemacu kemakmuran utama bagi kedua-dua buah negara sejak 50 tahun kebelakangan ini.

    Pada masa yang sama, seperti negara-negara lain di dunia, Brunei juga berhadapan dengan pelbagai isu global termasuk perubahan iklim. Dalam hubungan itu, Jepun amat teruja untuk menyokong usaha peralihan tenaga dan mempelbagaikan ekonomi Brunei di mana pada masa ini, terdapat 21 buah syarikat Jepun sedang beroperasi di Brunei sebagai rakan kongsi mesra menyumbang kepada pembangunan ekonomi Brunei.

    Perkara itu dinyatakan oleh Duta Jepun ke Negara Brunei Darussalam yang dilantik, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka ketika berucap di Majlis Resepsi Ulang Tahun Puja Usia Maharaja Jepun Ke-65 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.

    Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka ketika berucap di majlis berkenaan.

    Hadir di majlis berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kerajaan, ahli-ahli perniagaan, para jemputan khas serta warga Jepun yang bermastautin di Negara Brunei Darussalam.

    TYT Kikuta menambah lagi, Jepun dan Brunei juga sedang mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan dan sekuriti maritim dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan aktiviti seperti penganjuran Dialog Dasar Pertahanan ke-2 yang diadakan di Fukuoka, Jepun, baru-baru ini, yang menggariskan komitmen bersama untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang berkenaan.

    Atas & Bawah: Antara yang hadir dalam majlis berkenaan.

    Sementara itu, daripada segi pertukaran orang-ke-orang dan kebudayaan, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, telah mengadakan lebih banyak acara yang mengetengahkan budaya moden dan tradisional Jepun di Brunei termasuk bengkel penggubahan bunga Ikebana, Pesta Makanan Jepun dan Pameran Seni Kontemporari Jepun.

    Majlis berkenaan diserikan lagi dengan pameran-pameran daripada syarikat Jepun yang beroperasi di Brunei yang mengongsi mengenai pencapaian serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh mereka pada masa ini.

    TYT Kikuta Yutaka menyampaikan cenderahati kepada YB Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham.
    Sesi bergambar ramai semasa majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda