Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Pasukan kebangsaan Brunei Darussalam bawah 16 tahun (B16) tewas 10-0 oleh Timor Leste dalam Kumpulan B Kejohanan Lelaki B16 Persekutuan Bola sepak ASEAN (AFF) di Stadium Sultan Agung di Bantul hari ini.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim mengetuai pasukan kebangsaan B16 dalam penampilan keduanya pada kejohanan tersebut.
Kapten Timor Leste, Alexandro Bakhito Corsino Lemos memimpin serangan dengan ledakan empat gol, membawa pasukannya ke senarai kedudukan teratas sekurang-kurangnya sebelum permulaan perlawanan di antara Laos dan Thailand.
Skuad Tabuan Muda berjaya menahan pencabar mereka daripada menyerang selama lebih setengah jam sebelum Alexandro Bakhito merobek benteng mereka dalam minit ke-34. Dia menambah gol kedua untuk pasukannya lima minit kemudian.
Bagaimanapun, pemain muda negara gagal mempertahankan serangan ketika Timor Leste meledakkan jaringan gol secara bertubi-tubi.

Skuad The Young Little Samba Nation itu melanjutkan mata pendahuluan dengan gol ketiga daripada pemain tengah Luis Berdila da Silva pada minit ke-52 sebelum pemain pertahanan Norbert Jonerson Frances Mota Goncalves menyertai serangan tiga minit kemudian.
Pemain pertahanan Brunei Awangku Muhammad Arshrul Irfan menjaringkan golnya sendiri dalam minit ke-54.
Bakhito melengkapkan hatrik dalam minit ke-65 sebelum meledak gol keempatnya pada minit ke-74.
Sementara itu, pemain tengah Timor Leste Vabio Canavaro Araujo Santos Pires menjadikan keputusan 8-0 pada minit ke-76 sebelum Jeremias dos Santos menambah namanya dalam senarai jaringan gol tiga minit kemudian.
Penyerang Totifanio Fortunato De Fatima Amaral menyempurnakan kemenangan ketika dia menambah dua lagi gol untuk pasukannya empat minit sebelum perlawanan berakhir.
Pasukan kebangsaan B16 akan mengakhiri kempen mereka menentang Laos pada Ahad ini.