Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Kunci kepada mencapai Wawasan Brunei 2035 adalah kepelbagaian ekonomi dan Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan perkembangan yang signifikan dalam usaha mempelbagaikan ekonominya.
Negara telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan dasar untuk mengurangkan kebergantungan kepada minyak dan gas serta menjana sebuah ekonomi yang lebih pelbagai, berdaya tahan dan mampan.
Usaha berkenaan telah membuahkan hasil yang positif dengan sektor bukan minyak dan gas menyumbangan kepada bahagian KDNK negara yang berkembang, jelas Setiausaha Tetap (Wawasan) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohamad dalam ucapannya semasa perasmian Forum Brunei 2024 di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.
Salah satu strategi utama yang digunapakai oleh Negara Brunei Darussalam untuk mempromosikan kepelbagaian ekonomi adalah pembangunan sektor dan industri baharu seperti pelancongan, industri halal, ICT dan pembuatan.
Sektor-sektor berkenaan bukan sahaja menyediakan sumber pendapatan yang baharu tetapi juga menjana peluang pekerjaan bagi penduduk setempat, tambah beliau.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/02/P4-1a_27022024.jpg)
Pengiran Hajah Siti Nirmala menyatakan bahawa Brunei juga menumpukan kepada meningkatkan persekitaran perniagaannya bagi menarik pelabur asing dan mempromosikan keusahawanan.
Pembaharuan telah dilaksanakan bagi memperkemaskan peraturan perniagaan, memperbaiki infrastruktur dan menyediakan insentif bagi pelaburan. Beliau menyatakan langkah-langlah berkenaan telah membantu menjana sebuah persekitaran yang kondusif bagi perniagaan untuk maju dan menyumbang kepada matlamat negara mempelbagaikan ekonomi.
Satu lagi elemen penting dalam pembangunan ekonomi Brunei adalah penekanan kepada pembangunan modal insan di mana terdapat pelaburan yang signifikan dalam pendidikan dan program latihan kemahiran bagi mempersiapkan tenaga kerjanya dengan kemahiran, ilmu pengetahuan dan kepakaran yang diperlukan bagi industri-industri yang baharu muncul.
Penumpuan kepada pembangunan modal insan itu, ulas Pengiran Hajah Siti Nirmala, memastikan negara mempunyai tenaga kerja yang berkemahiran dan kompetitif yang mampu memacu inovasi serta produktiviti dalam sektor bukan minyak dan gas.
Secara keseluruhannya, negara telah mencapai perkembangan yang baik ke arah mencapai tiga matlamat Wawasan Brunei 2035 menerusi usaha seluruh negara iaitu kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan warganya.
Selain daripada itu, Negara Brunei Darussalam juga komited untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menjelang 2030 di mana negara telah mencapai perkembangan yang signifikan dalam pencapaian matlamat berkenaan khususnya dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan kelestarian alam sekitar.
Negara Brunei Darussalam telah melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif bagi menangani isu-isu berkenaan dan memperbaiki kesejahteraan rakyatnya seperti melabur dalam program kebajikan sosial, melakasanakan amalan pembangunan mampan dan mempromosikan pendidikan dan sistem penjagaan kesihatan inklusif.