Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Negara Brunei Darussalam mengambil pendekatan seluruh negara (whole of nation) memerangi kesalahan pemerdagangan manusia.
Ini termasuklah peranan mahkamah sebagai sebahagian daripada sistem keadilan jenayah dalam menegakkan hak-hak mangsa perdagangan manusia dan menentukan pertimbangan hukuman bagi pelaku kesalahan.
Perkara itu ditekankan oleh Ketua Hakim Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong dalam ucapan pembukaan Persidangan Kehakiman Bersama (JJC) ke-6 antara Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Menurutnya, peningkatan kes pemerdagangan manusia menekankan kepen-tingan peranan mahkamah dalam mengadili tuduhan pelanggaran hak ekonomi, sosial dan budaya. Beliau juga menjelaskan golongan paling lemah dalam masyarakat sangat memerlukan perlindungan undang-undang dan JJC memberi peluang untuk berkongsi pengalaman dan mengenal pasti penyelesaian yang membolehkan kehakiman memenuhi keperluan sistem keadilan dan orang-orang di dalamnya.
Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah persidangan dwitahunan tersebut dan buat pertama kalinya diadakan secara dalam talian dengan dihadiri oleh ketua hakim negara dari Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura dengan seramai 70 orang hakim dan pegawai kehakiman daripada bahagian kehakiman masing-masing

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, persidangan kali ini membincangkan mengenai isu-isu kehakiman dan perundangan yang mempunyai kepentingan bersama.
Ketiga-tiga kehakiman terlibat bagi perbincangan panel dalam bidang perlindungan kanak-kanak bagi masalah rentas sempadan dan peningkatan kes pemerdagangan manusia: alasan dan pertimbangan hukuman.
Mereka juga berkongsi pengalaman mengenai topik pentadbiran kehakiman dan kepintaran tiruan (AI) serta sejauh mana pengaruh AI terhadap kehakiman.
JJC berfungsi sebagai platform untuk mengukuhkan dan mengeratkan hubungan dan menyediakan tempat yang berharga untuk pertukaran pandangan dan pengalaman antara sesama hakim dan pegawai kehakiman. Ini juga menegaskan persahabatan dan kerjasama lama yang wujud antara ketiga-tiga buah negara.
Tema JJC pada tahun ini adalah ‘Perlindungan Orang dan Peranan serta Tugas Mahkamah dalam Melindungi Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya’.