Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Brunei komited pulihara alam sekitar

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid telah menghadiri Persidangan Islam ke-9 bagi Menteri-menteri Alam Sekitar (ICEM9) dalam Dunia Islam yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi, kelmarin.

    Kementerian Pembangunan dalam kenyataannya menyatakan hadir sama pada persidangan tersebut ialah Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR), Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Hajah Martinah binti Haji Tamir dan pegawai Kementerian Pembangunan.

    Persidangan yang membawa tema Ke Arah Mencapai Transformasi Hijau dalam Dunia Islam itu bermatlamat untuk meningkatkan kerjasama antara negara ahli kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) khusus dalam berkongsi pengalaman, pengetahuan, perkembangan serta amalan terbaik dalam hal ehwal pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar serta langkah yang diambil negara-negara ahli OIC bagi memastikan alam sekitar dipulihara bagi mencapai pembangunan yang mampan untuk agenda global 2030.

    Persidangan itu dipengerusikan oleh Menteri bagi Alam Sekitar, Air dan Pertanian Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Dr Abdulrahman bin Abdulmohsen Al Fadley di mana perbincangan menumpukan perkembangan penyediaan laporan mengenai Islamic Academy for the Environment and Development, inovasi hijau dalam menangani cabaran perubahan iklim serta strategi-strategi yang dilaksanakan bagi menyediakan bandar pintar dan mampan dalam kalangan negara-negara OIC.

    Pada sebelah petang, sesi kerja pertama telah diadakan yang membincangkan tajuk Transformasi Hijau dalam Dunia Islam: Cabaran dan Peluang.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda dan rombongan yang menghadiri persidangan berkenaan. – Gambar serahan Kementerian Pembangunan

    Manakala itu, sesi kerja kedua telah membincangkan mengenai Kecerdasan Buatan (AI) dan Teknologi-teknologi Baharu Muncul bagi Mencapai Matlamat Pembangunan Mapan.

    Semasa sesi kerja pertama berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda mengongsi perkembangan, pencapaian, cabaran dan usaha berterusan Negara Brunei Darussalam dalam pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.

    Antaranya adalah melalui keperluan pelaksanaan Penilaian Kesan terhadap Alam Sekitar bagi projek-projek pembangunan yang tersenarai sebagai Prescribed Activities sebagaimana kehendak Seksyen 9 Akta Pemeliharaan dan Pengurusan Alam Sekitar Bab 240.

    Selain itu, Yang Berhormat Dato juga menyentuh mengenai inisiatif pembersihan pantai iaitu coastal marvel yang sehingga kini berjaya mengumpul sejumlah 12,352.84 kilogram serpihan laut.

    Yang Berhormat Dato menekankan Negara Brunei Darussalam juga terus komited untuk mengurangkan pengeluaran karbon serta menggalakkan pertumbuhan hijau yang berdaya tahan.

    Antara langkah yang dilaksanakan pada masa ini, tambah beliau, menyemak penggunaan tenaga dalam sektor awam dan swasta, melaksanakan garis panduan, perundangan dan penggubalan dasar untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta meningkatkan kesedaran mengenai potensi perubahan iklim melalui promosi berterusan dan program pendidikan melalui pendekatan senegara.

    Selain itu, Yang Berhormat Dato juga menyentuh mengenai usaha berterusan negara dalam meningkatkan jumlah hutan simpan negara daripada 45 peratus kepada 55 peratus menjelang 2025.

    Juga ditekankan adalah mengenai perlaksanaan inisiatif penanaman pokok yang terkandung dalam Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim yang sehingga kini sebanyak 48,871 pokok telah berjaya ditanam.

    Ini adalah sebahagian pencapaian ke arah meningkatkan Green Environment Resilience yang menyasarkan penanaman sebanyak 500,000 pokok baharu menjelang 2035.

    Yang Berhormat Dato juga menyentuh mengenai pembaziran non-revenue water yang merupakan satu cabaran besar yang dihadapi di Negara Brunei Darussalam.

    Dalam usaha untuk mengatasi isu itu, beberapa langkah telah dilaksanakan seperti perlaksanaan Internet Of Things (IOT) untuk memantau tekanan air, memantau penyaluran bekalan air serta kebocoran, dalam komitmen untuk mencapai sasaran pengurangan pembaziran non-revenue water daripada 45 peratus pada 2021 kepada 30 peratus pada
    2025.

    Sebelum berlangsungnya persidangan berkenaan, Yang Berhormat Dato berserta rombongan telah menghadiri Majlis Penganugerahan ke-3 Anugerah Arab Saudi bagi Pengurusan Alam Sekitar dalam Dunia Islam (KSAAEM).

    Penganugerahan itu merupakan kolaborasi bersama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (ICESCO) dan Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian, Arab Saudi di mana 21 pemenang dari 18 buah negara OIC dalam lima kategori yang dipertandingkan telah menerima anugerah berkenaan.

    Ia bertujuan untuk menghargai sumbangan terhadap tindakan yang dilaksanakan dalam kepentingan alam sekitar dan pembangunan mampan dalam sektor kerajaan dan swasta.

    Selain itu, ia bertujuan untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat dalam negara-negara OIC serta inovasi yang dilaksanakan terhadap cabaran yang dihadapi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...