Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    BIBD AM diiktiraf Pengurus Aset Terbaik Brunei

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Pengurusan Aset Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD AM), baru-baru ini telah diiktiraf sebagai Pengurus Aset Terbaik untuk Brunei oleh The Asset, penerbit anugerah global.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, Anugerah Triple A tahunan The Asset itu merupakan anugerah paling berprestij industri untuk perbankan, kewangan, perbendaharaan dan pasaran modal.

    Program anugerah itu dibangunkan berdasarkan metodologi ketat yang digabungkan dengan pendekatan ketat dalam memilih institusi dan tawaran terbaik.

    Anugerah dinilai oleh lembaga penyunting berpengalaman The Asset yang secara kolektif mempunyai beberapa dekad pengalaman dalam menilai anugerah industri.

    Keputusan lembaga itu ditambah dengan maklumat yang dijana daripada temu bual mendalam dan menggunakan analisis data yang dihasilkan oleh Asset Benchmark Research, organisasi penyelidikan terkemuka di rantau ini yang menilai standard pengalaman pelanggan dalam industri perkhidmatan kewangan.

    Gambar oleh Syahmi Hassan

    The Asset menyatakan, BIBD AM dipilih sebagai pengurus aset Islam tahun ini untuk Brunei berdasarkan tumpuannya pada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan pelancaran Strategi Sukuk ESG Global.

    ESG telah berada di atas dalam perbincangan di seluruh industri dan menyepadukan ESG sebagai sebahagian daripada proses membuat keputusan pelaburan memberikan keselesaan kepada pelabur.

    “BIBD AM juga menunjukkan komitmennya kepada ESG dan pelaburan bertanggungjawab sosial (SRI) kerana menjadi penandatangan kepada Prinsip Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelaburan Bertanggungjawab, yang pertama di Brunei berbuat demikian,” tambah penerbit anugerah itu.

    The Asset juga mengambil maklum tentang inisiatif BIBD AM untuk mendidik orang ramai tentang industri melalui program pendidikan dalam talian serta melalui bengkel celik kewangannya.

    Pemangku Pengarah Urusan BIBD Securities (BIBDS), Jason Wong mengulas, “Kami berbesar hati dengan pengiktirafan ini dan berbangga mempamerkan keupayaan Brunei di pentas global.

    “Memenangi anugerah ini menunjukkan keupayaan kami untuk memenuhi piawaian serantau dan global, dan mengesahkan komitmen kami untuk menyampaikan produk patuh Syariah yang memenuhi keperluan pelanggan kami,” ujarnya.

    Menurut BIBD, anugerah berkenaan mencerminkan komitmen bank untuk menyokong Pelan Tindakan Kewangan Bank Negara Brunei Darussalam dan Wawasan Brunei 2035 untuk memupuk pertumbuhan dalam industri kewangan dan pengurusan aset Islam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...