Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Brunei komited tingkat kesedaran kesihatan mental

    Oleh Sim Y.H.

    Penularan wabak COVID di seluruh dunia, secara amnya telah memberikan kesan mendalam kepada semua akses perkhidmatan kesihatan rutin termasuk perkhidmatan kesihatan mental yang mengalami kesukaran dan sangat terhad semasa penularan wabak.

    Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali terkesan oleh impak COVID di mana pandemik telah menyebabkan jurang antara keperluan dan pemberian perkhidmatan berikutan pelaksanaan langkah-langkah pengawalan COVID yang tidak dapat dielakkan.

    “Ini termasuk pengalihan sumber penjagaan kesihatan untuk menangani pandemik COVID yang telah mengakibatkan kesukaran bagi orang ramai untuk mengakses perkhidmatan kesihatan seperti kesihatan mental pada masa itu,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2022, baru-baru ini.

    Pada Ogos 2021 iaitu ketika permulaan gelombang kedua COVID melanda negara, Talian Harapan 145 telah menerima sebanyak 1,058 panggilan dalam tempoh dua bulan dan ia adalah kenaikan yang ketara daripada purata jumlah panggilan bulanan yang diterima pada 2020 iaitu sebanyak 445 panggilan.

    Di samping itu, menurut data daripada rekod kesihatan elektronik, BruHIMS, bagi 2021, seramai 1,515 individu telah didiagnosis dengan anxiety disorder dan lebih daripada 900 individu mengalami depressive disorders.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menekankan tiada kesihatan tanpa kesihatan mental semasa pelancaran Pelan Tindakan Kesihatan Mental Brunei Darussalam 2022-2025, baru-baru ini.

    Pameran yang mengetengahkan pentingnya kesihatan mental kepada kesihatan diri.
    Pelancaran Pelan Tindakan Mental Brunei Darussalam 2022-2025, menunjukkan komitmen Negara Brunei Darussalam ke arah penjagaan kesihatan mental.

    “Ini menunjukkan bahawa pandemik COVID terbukti memberi kesan yang meluas terhadap kesihatan mental,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Penjelasan itu dibuat berikutan kadar stres, kebimbangan dan kemurungan selepas tercetusnya pandemik jangkitan COVID meningkat di seluruh dunia dengan anggaran satu dalam setiap empat orang mengalaminya.

    Dalam perutusan itu lagi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyatakan pelancaran Pelan Tindakan Kesihatan Mental bagi Negara Brunei Darussalam merupakan langkah penting untuk menekankan komitmen Negara Brunei Darussalam ke arah penjagaan kesihatan mental.

    Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa pelan tindakan itu merupakan tanda komitmen Brunei Darussalam dalam memenuhi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam Pelan Kesihatan Mental yang terbarunya iaitu WHO Comprehensive Mental Health Action Plan 2013-2030 untuk memastikan agenda-agenda berkaitan kesihatan mental diberikan perhatian yang sewajarnya dan dapat dilaksanakan dengan berkesan di seluruh dunia, termasuklah di Negara Brunei Darussalam.

    “Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk mengutamakan penjagaan kesihatan mental dan kesejahteraan diri mereka serta ahli keluarga dan rakan-rakan mereka,” saran Yang Berhormat Dato.

    Tambahnya bahawa antara aktiviti yang boleh dilakukan bersama ahli keluarga adalah seperti melakukan aktiviti riadah yang sihat seperti bersenam bersama-sama. Di samping itu, mereka juga dinasihatkan untuk mengongsi mengenai sebarang kebimbangan, perasaan negatif yang dialami dan kesihatan mental tanpa prasangka buruk atau menghakimi dengan ahli keluarga atau rakan-rakan.

    “Kita juga perlu peruntukkan masa untuk diri sendiri dengan melakukan aktiviti relaksasi atau kerohanian seperti berzikir atau melakukan meditasi secara berkala, malah mengurangkan penggunaan media sosial juga boleh membantu kesihatan mental kita.

    “Mempelajari dan menguasai kemahiran baharu juga boleh membantu membina keyakinan dan mengukuhkan kesihatan mental seseorang individu.

    “Akhir sekali, saya ingin mengingatkan kepada orang ramai bahawa Talian Harapan 145 disediakan sebagai talian bantuan krisis kesihatan mental kebangsaan dan juga sebagai sumber untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan mental.

    “Saya juga ingin mendorong kita semua untuk bersama-sama bersatu maju ke hadapan dalam membantu meningkatkan kesedaran kesihatan mental di negara ini serta saling memberikan sokongan kepada mereka yang mengalami kesihatan mental,” ulas beliau lagi.

    Semasa pelancaran pelan tindakan kesihatan mental itu, Yang Berhormat Dato menyeru kepada semua pihak berkepentingan di negara ini, dari pelbagai agensi dan daripada semua lapisan dan sektor masyarakat untuk mengukuhkan kerjasama dan terus komited untuk memastikan kejayaan dan keberkesanan pelan tindakan berkenaan demi untuk kesihatan dan kesejahteraan mental yang baik dan sihat bagi rakyat dan penduduk negara.

    Pelan Tindakan Kesihatan Mental Brunei Darussalam 2022-2025 yang dilancarkan, baru-baru ini, bermatlamat untuk menggalakkan kesihatan mental dan kesejahteraan, mencegah gangguan mental, mengukuhkan penjagaan yang kos efektif dan mampan, menggalakkan dan meningkatkan pemulihan serta mengurangkan kematian, morbiditi dan hilang upaya bagi orang yang mempunyai masalah kesihatan.

    Pelan tindakan itu mengandungi empat strategi utama, iaitu memperkukuhkan kepimpinan dan urus tadbir untuk kesihatan mental, memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan mental dengan memastikan ketersediaan dan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan mental yang berkualiti secara menyeluruh, memperkukuhkan promosi kesihatan mental dan pencegahan gangguan mental serta membangun kapasiti sistem maklumat dan penyelidikan negara untuk kesihatan mental.

    Sebanyak 13 tindakan dan 32 aktiviti juga telah dikenal pasti untuk dilaksanakan secara berterusan dengan mengambil kira keperluan dan keutamaan Negara Brunei Darussalam dalam tempoh empat tahun akan datang.

    Bagi strategi pertama ia memberikan penekanan kepada lima tindakan utama iaitu meningkatkan kapasiti dan kesedaran komuniti serta seluruh negara mengenai kesihatan mental, menggubal dasar keseimbangan pekerjaan dan kehidupan bagi semua tempat kerja, mengoptimumkan sumber manusia dengan menubuhkan sebuah kumpulan pusat kaunselor terlatih untuk ditempatkan di kesemua kementerian, mengenal pasti dan memperkasa organisasi yang memperjuangkan kesihatan mental dan membangunkan kod etika negara.

    Bagi strategi kedua, ia memberikan penekanan kepada tiga tindakan utama iaitu membangunkan dan menawarkan program latihan kaunseling dan kesihatan mental di institusi-institusi pengajian tinggi, membangunkan Garis Panduan Pengurusan Kesihatan Mental Bencana Kebangsaan atau sekurang-kurangnya memasukkan Kesihatan Mental ke dalam Pelan Kesiapsiagaan Kecemasan Kebangsaan serta membangunkan dan melaksanakan Penjagaan Kesihatan Mental Digital.

    Strategi ketiga pula menekankan kepada tiga tindakan utama iaitu memperbaiki Literasi Kesihatan Mental di kalangan penduduk Brunei untuk mengurangkan stigma dan diskriminasi, memperkukuhkan semua strategi mempromosikan kesihatan mental di sekolah, kesemua institusi pendidikan, tempat kerja dan dalam komuniti serta mempromosikan persekitaran tempat kerja dan institusi pendidikan yang selamat dan menyokong.

    Strategi keempat menekankan kepada dua tindakan utama iaitu menubuhkan Sistem Pengawasan Kesihatan Mental serta mengukuhkan kolaborasi dan kerjasama di antara institusi tempatan, universiti dan perkhidmatan kesihatan dalam penyelidikan kesihatan mental.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...