Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei komited tingkatkan liputan imunisasi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Program Vaksinasi Kebangsaan COVID-19 pada 3 April 2021 memberikan perlindungan tambahan terhadap jangkitan COVID-19 kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

    Sehingga 31 Mac 2023, sejumlah 1,291,217 dos vaksin COVID-19 telah diberikan di seluruh negara. Kadar liputan vaksinasi COVID-19 di negara ini kekal tinggi dengan 79.2 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara telah menerima dos ketiga vaksin. Lebih dari 62 peratus remaja berumur 12 hingga 17 tahun dan 88.1 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah menerima vaksin.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar serahan Kementerian Kesihatan) menekankan perkara itu dalam perutusan Sambutan Minggu Imunisasi Sedunia 2023.

    Beliau menyatakan kerajaan Brunei akan terus memastikan kesemua rakyat dan penduduk negara ini mendapat manfaat sepenuhnya daripada vaksin untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan mereka dengan melibatkan semua di setiap peringkat umur dalam apa jua keadaan.

    Sambutan Minggu Imunisasi bertemakan, The Big Catch-up, menandakan titik perubahan kritikal bagi program imunisasi untuk mengejar, memulih dan mengukuhkan perkhidmatan imunisasi bagi berjuta-juta orang yang tidak mendapat manfaat vaksin dan menghentikan penyebaran wabak penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin.

    Menurut Yang Berhormat Dato, bagi menyokong tema sambutan itu, Kementerian Kesihatan komited dan akan terus berusaha mengukuhkan lagi perkhidmatan imunisasi di negara ini bagi kanak-kanak dan meningkatkan liputan imunisasi bagi mereka yang berisiko tinggi di setiap peringkat umur. Wawasan Brunei 2035 adalah untuk mencapai kualiti hidup yang tinggi untuk penduduk.

    Negara Brunei Darussalam menyertai Minggu Imunisasi Sedunia pada 24 hingga 30 April setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan vaksin dan memberikan kesempatan bagi semua orang untuk menjalani hidup yang sihat dan bermakna, tambahnya.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan pandemik COVID juga telah menganggu perkhidmatan imunisasi rutin di Brunei sama seperti kebanyakan negara lain di dunia. Disebabkan itu, kadar imunisasi global telah menurun daripada 86 peratus pada tahun 2019 menjadi 81 peratus pada tahun 2021.

    Yang Berhormat Dato mengakhiri perutusannya dengan penekanan bahawa imunisasi rutin adalah penting untuk penjagaan kesihatan awal kanak-kanak dan Brunei tetap komited dalam menyediakan program imunisasi yang komprehensif kepada semua penduduk.

    Perkhidmatan imunisasi rutin kanak-kanak terus dijalankan sebagai sebahagian daripada perkhidmatan penting untuk melindungi penduduk daripada risiko penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin, termasuk untuk wanita mengandung dan golongan berisiko tinggi semasa pandemik COVID-19.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda