Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Brunei lulus penggunaan vaksin bivalen moderna

    Oleh Syahmi Hassan & Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Autoriti Kawalan Ubat-ubatan Negara Brunei Darussalam (BDMCA) telah meluluskan Emergency Use Authorisation (EUA) bagi penggunaan vaksin Moderna (Spikevax Bivalent Original/Omicron) untuk orang dewasa di negara ini.

    Makluman tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media COVID-19 Negara Brunei Darussalam pada hari ini, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    “Kelulusan ini adalah berdasarkan data klinikal bagi vaksin bivalen yang telah dihadapkan dan juga berpandukan kelulusan daripada pihak berkuasa kawalan ubat dari negara-negara seperti United Kingdom, Australia, Kesatuan Eropah, Kanada, dan Singapura,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    Beliau menjelaskan Moderna Spikevax Bivalent Original/Omicron ialah vaksin bivalent next-generation yang juga mengandungi unsur-unsur yang menyasarkan varian Omicron, selain varian asal.

    Beliau seterusnya mengongsikan bagi mereka yang telah mengambil vaksin atau dos penggalak pertama, mereka boleh menunggu untuk mengambil bivalen Moderna walaupun sudah melepasi tempoh enam bulan dari dos sebelumnya.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa mengongsikan mengenai kelulusan penggunaan vaksin bivalen Moderna pada sidang media, kelmarin.

    Walau bagaimanapun, ia perlu juga dilihat kepada keadaan dalam beberapa minggu ini, jika jumlah kes dalam keadaan terkawal seperti pada masa ini di mana jumlah jangkitan lebih 200, ia dikira terkawal dan kes dalam kategori 4 dan 5 pada tahap yang rendah, pengambilan untuk bivalen Moderna ini boleh ditangguhkan sehingga ia sampai di negara ini.

    Tapi sekiranya jumlah kes jangkitan meningkat dan kemasukan dalam kategori 4 dan 5 bertambah, beliau menyarankan orang ramai untuk mengambil vaksin yang ditawarkan pada masa ini.

    Beliau turut menjelaskan semasa ditanyakan mengenai apa akan jadi kepada stok vaksin yang ada pada masa ini apabila stok vaksin bivalen Moderna ini tiba.

    “Walaupun vaksin baharu ini dijangka tiba di negara ini pada penghujung tahun tetapi kita tidak pasti bila namun apa yang penting, walaupun yang vaksin yang ada pada masa ini bukan khusus untuk Omicron tapi ia masih boleh mencegah seseorang dari mengalami keadaan yang teruk apabila dijangkiti,” jelas Yang Berhormat Dato

    Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 100,000 dos vaksin akan di hantar pada penghantaran pertama nanti.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...