Sunday, March 16, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei panas, rekod suhu 36.4 darjah celsius

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Negara Brunei Darussalam sejak beberapa hari kebelakangan ini telah mengalami keadaan cuaca yang agak panas pada waktu siang dengan hujan berasingan berlaku sekejap-sekejap di kawasan persisiran sekitar waktu tengah hari.

    Hujan atau hujan berpetir berasingan berlaku di kawasan pedalaman negara ini pada sebelah petang dan merebak ke beberapa kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam.

    Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataannya di sini, menyatakan bahawa berdasarkan rekod klimatologi, purata suhu udara maksimum bagi negara ini untuk April ialah 32.7 darjah Celsius.

    Setakat ini, Stesen Pencerapan Cuaca, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), BDMD telah merekodkan suhu udara maksimum pada 24 April iaitu 36.4 darjah Celsius.

    Jabatan berkenaan turut menyatakan bahawa Brunei sekarang berada dalam tempoh peralihan monsun di mana pada lazimnya kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian.

    Cuaca negara pada beberapa hari yang akan datang, jelas BDMD, dijangka cerah dan panas di mana suhu udara diramalkan antara 32 ke 35 darjah Celsius pada waktu siang.

    Walau bagaimanapun, hujan atau hujan berpetir dijangka berlaku di kawasan pedalaman pada waktu petang dan boleh merebak ke kawasan pesisiran pada waktu petang.

    Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah pencegahan akan kejadian cuaca panas yang masih diramalkan berlaku.

    Di samping itu, terdapat juga risiko berlakunya banjir kilat di kawasan pedalaman terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Orang ramai terutamanya pemandu di jalan raya dan para pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Jabatan berkenaan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi mudah alih Brunei WX.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh didapatkan dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114, melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook, @bruneiweather, Instagram, @brunei.weather dan saluran telegram BruneiWeather.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda