Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Darussalam Assets dan tiga buah bank tempatan pada masa ini sedang melaksanakan projek membentuk syarikat usaha sama untuk menyediakan gerbang atau hab pembayaran digital bagi memudahkan transaksi pembayaran secara digital di Negara Brunei Darussalam.
Visi projek berkenaan adalah untuk menyediakan infrastruktur pembayaran segera yang akan membolehkan faedah komersial dan sosioekonomi untuk Negara Brunei Darussalam.
Projek itu ditaja di bawah naungan Majlis Ekonomi Digital dan sebahagian daripada Peta Jalan Pembayaran Digital 2019-2022, pihak Bank Pusat Brunei Darussalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menerangkan perkara itu semasa menjawab persoalan mengenai gerbang e-pembayaran untuk menerima pembayaran dari luar negara yang diutarakan oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari dan Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari semasa permesyuaratan MMN, hari ini.
Yang Berhormat Dato dalam penerangan lanjut mengongsi beberapa faedah utama di bawah digital hab pembayaran berkenaan termasuk ia akan membolehkan pemindahan dana dari akaun ke akaun yang selamat, segera dan kos-efektif dengan menggunakan teknologi yang biasa digunakan oleh peniaga atau kedai untuk menerima pelbagai pembayaran seperti kad kredit dan debit.

Yang Berhormat Dato menerangkan lanjut bahawa teknologi itu juga membolehkan pembayaran menggunakan kod QR.
“Memandangkan 80 peratus penduduk Brunei mempunyai akaun bank dan 125 peratus mobile penetration, ini adalah potensi tinggi untuk berurus niaga melalui telefon pintar dan membolehkan transaksi tanpa tunai sebagai norma baharu,” ujar beliau.
Ia juga, ulasnya lanjut, dapat menghubungkan pelanggan dan perniagaan yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran yang lebih pantas dan pengurusan aliran tunai yang lebih mudah.
Projek itu membolehkan transaksi yang segera, selamat dan boleh diaudit serta berkos rendah untuk negara melalui kaedah seperti kod QR.
“Ini akan mengurangkan urus niaga secara tunai kepada kerajaan yang berjumlah 90 peratus pada keseluruhannya.”
Dengan infrastruktur negara itu, kos diperlukan untuk mengendali wang tunai akan berkurangan yang berharga beberapa juta dolar setahun. Hab pembayaran digital itu, tambah Yang Berhormat Dato, boleh merangsang inovasi perkhidmatan kewangan (fintech) melalui produk nilai tambahan yang akan mempunyai keupayaan untuk mengintegrasikan dengan merchant acquirers atau wallet dan penyedia perkhidmatan pembayaran seperti Pocket.
Di samping itu, ia juga mampu menyediakan platform kesalinghubungan kepada landasan pembayaran antarabangsa seperti PayPal bagi transaksi pembayaran antarabangsa masuk ke dalam negara tertakluk kepada pengesahan dan pemantauan kepada protokol dan peraturan tempatan dan antarabangsa seperti anti pengubahan wang haram.