Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Brunei Run 2022 meriah

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Brunei Run 2022 sempena Hari Jantung Sedunia 2022 hari ini memeriahkan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan semasa Program Bandarku Ceria.

    Acara dianjurkan Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan de-ngan kerjasama Gleneagles JPMC itu dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku tetamu kehormat.

    Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Gleneagles JPMC; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Terdahulu acara dimulakan dengan sesi senamrobik diikuti dengan pelepasan bagi acara walkaton sejauh 5km dan pertandingan larian sejauh 20km yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Larian 20km adalah bagi memperingati 20 tahun penubuhan Gleneagles JPMC pada 15 Julai 2002 yang dibahagikan kepada kategori lelaki dan perempuan.

    Menteri-menteri kabinet semasa pelepasan acara Brunei Run 2022.
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan bergambar ramai dengan peserta Brunei Run 2022.

    Acara turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif, Gleneagles JPMC, Dr Peter Tay Boon Chye, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan dan Gleneagles JPMC.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan para menteri lain turut menyaksikan pameran kesihatan dan beberapa aktiviti yang dijalankan sempena Hari Jantung Sedunia 2022, termasuk demonstrasi pertolongan kecemasan dan aktiviti kekeluargaan yang diungkayah-kan oleh pusat-pusat kecergasan program Workplace and Health (WAH) dan Happy Environment and Lifestyle (HEAL), Demensia Brunei, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Dynamic Sports.

    Hari Jantung Sedunia, yang diraikan setiap 29 September merupakan salah satu platform bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai penyakit jantung dan mengingatkan orang ramai bahawa penyakit kardiovaskular dapat dicegah dengan mengambil langkah-langkah terhadap faktor-faktor risiko penyakit jantung.

    Acara sambutan juga menyokong inisiatif BN on the Move: Cabaran 20 Bilion Langkah Bersama yang bermula 1 Oktober sehingga penghujung tahun ini.

    Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai inisiatif tersebut melalui aplikasi BruHealth masing-masing.

    Dengan adanya acara larian, walkaton dan pameran itu, Kementerian Kesihatan berharap akan dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan jantung dalam kalangan masyarakat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...