Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Negara Brunei Darussalam terus melakar pencapaian penting dalam pelancongan pelayaran apabila negara mengalu-alukan ketibaan kembali kapal persiaran, Norwegian Sky, yang berlabuh di Brunei kelmarin.
Ketibaan kapal persiaran berkenaan melakarkan satu lagi mercu tanda bagi industri pelancongan negara yang berkembang di mana kapal, Norwegian Sky tiba dari Kota Kinabalu, Malaysia dengan membawa seramai 1,927 orang penumpang dan 885 orang anak kapal bagi lawatan yang singkat tetapi penuh dengan pengalaman yang mengasyikkan di Brunei sebelum meneruskan pelayaran ke Cam Ranh, Vietnam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan hari ini, para penumpang berpeluang untuk menerokai mercu tanda ikonik negara termasuk Istana Nurul Iman, Masjid Omaar ‘Ali Saifuddien, Kampung Ayer serta menyusuri sungai bakau semasa kunjungan mereka di sini.
Selain itu, mereka juga berpeluang untuk mengalami sendiri warisan kekayaan budaya Brunei, menikmati juadah tradisional di kediaman di Kampung Ayer serta mendapatkan cenderahati yang unik di Pusat Kapal Persiaran sekali gus meninggalkan kenangan yang manis bagi lawatan mereka.
Beberapa penumpang mengongsi keterujaan mereka mengenai lawatan singkat berkenaan. Seorang penumpang dari Virginia, Amerika Syarikat, Anna Baylosis mendapati lawatannya ke Kampung Ayer amat menarik dan semasa menyelusuri kawasan bakau, beliau berpeluang untuk menyaksikan monyet dan buaya serta menikmati hidangan juadah dan teh tempatan di rumah tepi sungai.
Sementara itu, penumpang dari Filipina, Bernardo Molina menyatakan amat terpegun dengan keindahan Brunei dan penumpang dari Kanada, Dawn Angela pula menyatakan lawatan ke Kampung Ayer merupakan cara yang menawan dan menarik untuk merasai gaya hidup unik Brunei.
Pelayaran kembali kapal persiaran, Norwegian Sky mengetengahkan tarikan Brunei yang semakin berkembang di kalangan pelancong dan operator persiaran antarabangsa, mengukuhkan lagi reputasinya sebagai destinasi persiaran yang semakin menonjol.
Pelayaran kapal berkenaan juga menandakan kali ketiga daripada sekurang-kurangnya 11 buah kapal persiaran yang dijangka akan melawat Negara Brunei Darussalam pada 2025.
Dengan kapal persiaran, Norwegian Sky dijadualkan untuk mengadakan lawatan terakhirnya ke Brunei bagi 2025 pada 14 Februari nanti, Brunei menjadi destinasi berulang bagi laluan kapal persiaran dan penumpangnya, menawarkan pengalaman yang unik yang menggalakkan lawatan berulang.