Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Brunei sertai minggu Tokyo GX

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof telah mewakili Negara Brunei Darussalam pada Minggu Tokyo GX (Green Transformation) yang berlangsung di Tokyo, Jepun, bermula kelmarin, secara hibrid.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga di JPM, di sini, acara itu dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI), Jepun di mana para menteri, pemimpin industri dan organisasi antarabangsa menyertai dalam pelbagai mesyuarat, persidangan dan forum antarabangsa berkaitan tenaga serta alam sekitar, ke arah merealisasikan neutraliti karbon global dengan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan melalui transformasi hijau.

    Yang Berhormat Pehin mewakili Brunei Darussalam dalam empat mesyuarat dan persidangan iaitu Mesyuarat Peringkat Menteri bagi Tenaga Hidrogen (HEM) ke-5, Mesyuarat Peringkat Menteri bagi Perkongsian Pertumbuhan Hijau di Rantau Asia (AGGPM) ke-2, Persidangan Pengeluar-Pengguna Gas Asli Cecair (LNGPCC) ke-11 dan Forum Rangkaian CCUS Asia (ACN Forum) ke-2.

    Mesyuarat HEM ke-5 telah bersidang kelmarin di mana ia diadakan secara fizikal buat kali pertama sejak 2019 dan perkara yang dibincangkan adalah perubahan pesat dalam persekitaran tenaga, kemajuan-kemajuan ke arah membina masyarakat berkuasa hidrogen secara global serta usaha-usaha inovatif ke arah penggunaan hidrogen di negara-negara di seluruh dunia.

    Pada mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya menggariskan bahawa Negara Brunei Darussalam akan terus bekerjasama dengan institusi serantau dan antarabangsa dalam mempromosikan tenaga hidrogen.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi berpeluang mengadakan perjumpaan dua hala bersama TYT Nakatani Shinichi di Ibu Pejabat Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri di Tokyo, Jepun. – Gambar serahan Jabatan Tenaga di JPM

    Brunei memainkan peranan dalam penerokaan potensi hidrogen dengan kerjasama Jepun untuk melaksanakan projek Demonstrasi Rantaian Bekalan Hidrogen Global antara 2019 dan 2022 serta menunjukkan bahawa pengangkutan hidrogen melalui perkapalan laut adalah teknologi yang boleh dilaksanakan, walau bagaimanapun, kos dan skala ekonomi kekal sebagai cabaran utama.

    Manakala itu, Mesyuarat AGGPM ke-2 juga bersidang secara fizikal kelmarin di mana para menteri membincangkan kepentingan mempercepatkan peralihan tenaga yang pelbagai dan pragmatik di Asia dengan mengambil kira keadaan yang berbeza bagi setiap negara dan menggunakan semua sumber tenaga dan teknologi yang berkenaan.

    Mesyuarat turut menekankan kepentingan peralihan tenaga yang seimbang ke arah mencapai neutraliti karbon sambil memastikan keselamatan tenaga di rantau Asia dan di peringkat global.

    Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya menyuarakan hasrat Brunei untuk menuju ke arah sifar bersih menjelang 2050 disokong oleh inisiatif khusus peralihan tenaga sebagai sebahagian daripada Dasar Perubahan Iklim

    Negara Brunei Darussalam dalam mempelbagaikan campuran tenaga.

    Di samping mesyuarat-mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Pehin juga berpeluang mengadakan perjumpa-an dua hala bersama Menteri Negara Ekonomi, Perdagangan dan Industri Kerajaan Jepun, Tuan Yang Terutama Nakatani Shinichi di Ibu Pejabat METI, Tokyo, Jepun.

    Semasa perjumpaan berkenaan, kedua-dua menteri bertukar-tukar pandangan dan menggariskan kepentingan kerjasama tenaga yang sudah lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun serta untuk meneroka peluang-peluang dalam usaha-usaha peralihan tenaga dan memperkukuhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara.

    Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Haji Azhar bin Haji Yahya turut menghadiri mesyuarat-mesyuarat berkenaan sebagai sebahagian daripada rombongan Negara Brunei Darussalam.

    Persidangan LNGPCC ke-11 akan diadakan secara dalam talian pada 29 September dengan membawa tema Reorganizing LNG for World Energy Security, yang bakal menghimpunkan pengeluar dan pengguna utama gas asli cecair dunia serta kumpulan pemikir bagi mempertingkatkan lagi kerjasama dan memperkukuhkan pasaran global gas cecair asli.

    Manakala itu, Forum ACN ke-2 akan diadakan secara hibrid pada 30 September.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...