Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei-Singapura kukuhkan kerjasama dua hala

    Gambar oleh Infofoto

    SINGAPURA, 4 OGOS – Satu biasiswa akan diperkenalkan untuk membukakan peluang kepada penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam yang telah mencapai prestasi cemerlang bagi menyambung pengajian di peringkat menengah sehingga pengajian tinggi di Republik Singapura.

    Perkara tersebut adalah antara yang dipersetujui Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Perdana Menteri Singapura, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong ketika bertukar-tukar pendapat dan perbincangan semasa kunjungan hormat yang berlangsung di West Drawing Room, Istana Republik Singapura.

    Terdahulu, keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Istana dialu-alukan oleh Tuan Yang Terutama bagi Majlis Santap Tengah Hari.

    Duli Yang Teramat Mulia dan Tuan Yang Terutama turut bertukar-tukar pandangan untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

    Semasa kunjungan hormat itu juga, Duli Yang Teramat Mulia dan Tuan Yang Terutama turut menyentuh mengenai hubungan kerjasama dalam industri hiliran, meneroka strategi untuk melindungi alam sekitar serta berkongsi pengalaman dalam pemulihan pasca pandemik COVID.

    Selain itu, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mewujudkan program latihan bagi penjawat am Negara Brunei Darussalam ke arah meningkatkan kapasiti dan kerjasama mereka di bawah sektor-sektor yang berkepentingan melalui penempatan kerja di agensi-
    agensi kerajaan Republik Singapura.

    Selesai kunjungan hormat, Duli Yang Teramat Mulia berangkat bersama Tuan Yang Terutama menghadiri Majlis Santap Tengah Hari di Banquet Hall.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menghadiri Majlis Santap Tengah Hari yang dihoskan oleh Perdana Menteri Republik Singapura, TYT Lee Hsien Loong di Istana, Singapura, kelmarin.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan berangkat mengadakan kunjungan hormat kepada TYT Lee Hsien Loong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda