Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei, Singapura tingkatkan kerjasama digital

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Republik Singapura telah meningkatkan kerjasama digital dengan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) yang berlangsung di Kementerian Komunikasi dan Penerangan, Republik Singapura, hari ini.

    Penandatanganan MoU berkenaan merupakan acara sampingan semasa Sidang Kemuncak Asia Tech X (ATxSG) yang akan berlangsung dari 31 Mei sehingga 3 Jun.

    Menandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof yang berada di Singapura bagi menghadiri sidang kemuncak berkenaan, manakala itu, kerajaan Republik Singapura diwakili oleh Menteri Komunikasi dan Penerangan, Republik Singapura, Puan Yang Terutama Josephine Teo.

    MoU tersebut menetapkan rangka kerja untuk hubungan dua hala yang lebih erat dalam aktiviti kerjasama digital antara kedua-dua buah negara.

    Bidang kerjasama MoU tersebut meliputi aktiviti-aktiviti seperti pertukaran maklumat, kepakaran teknikal dan amalan terbaik dalam bidang kesalinghubungan digital, perlindungan data peribadi, teknologi-teknologi baharu, pentadbiran digital, keselamatan siber dan bidang-bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama antara kedua buah negara.

    Penandatanganan tersebut akan mengeratkan lagi hubungan yang sedia ada dan menggalakkan pertukaran maklumat yang bermanfaat dalam bidang kerjasama digital antara kedua-dua buah negara.

    Sebelum majlis penandatanganan tersebut, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi telah mengadakan perjumpaan muhibah dengan PYT Josephine Teo bagi membincangkan bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama dua hala, serantau dan antarabangsa. Turut hadir semasa majlis penandatanganan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura, Haji Ahmad Nasri bin Dato Dr Haji Abdul Latif dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib dan PYT Josephine Teo semasa memeterai MoU meningkatkan kerjasama digital antara dua negara. – Gambar serahan Kem. Pengangkutan dan Infokomunikasi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda