Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Negara Brunei Darussalam terus menunjukkan kadar penurunan kes COVID yang lebih stabil dalam satu minggu kebelakangan ini, apabila mencatatkan 108 kes sehari berbanding 122 kes sehari pada minggu lalu.
Sebanyak 32,615 keputusan ujian ART telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu di mana 2.3 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif.
Pada hari ini, sebanyak 122 kes baharu telah dilaporkan iaitu 118 kes hasil ujian ART dan empat kes telah dikesan daripada ujian-ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar) menjelaskan perkara itu pada pada Sidang Media Normal Baharu di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

“Pada hari ini, tidak ada kes di dalam kategori 5 yakni yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) manakala terdapat satu kes di dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi,” tambahnya.
Sehingga 5 Februari, kadar liputan vaksinasi COVID di Negara Brunei Darussalam kekal berada di tahap yang tinggi dengan 79.1 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 11.9 peratus juga telah mendapatkan dos keempat.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu kes COVID telah meninggal dunia dalam masa 24 jam lalu dan dikategorikan sebagai kematian akibat COVID.
Sehubungan itu, beliau dan kementerian serta seluruh rakyat negara ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para solihin.
Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato berdoa semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada segala bencana dan wabak penyakit serta berada di dalam perlindungan Allah SWT.

