Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Brunei, Vietnam kukuhkan kerjasama dua hala

    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 FEB – Lawatan rasmi Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Pham Minh Chinh ke Brunei Darussalam mencerminkan hubungan diplomatik yang ditubuhkan antara kedua-dua negara sejak 30 tahun lalu terus kukuh.

    Vietnam yang menjadi sebahagian daripada keluarga ASEAN di Bandar Seri Begawan pada tahun 1995, merupakan salah sebuah negara yang paling pesat berkembang di rantau ini.

    Sehubungan itu, program Transformasi Digital Nasional dan pemeteraian Pelan Tindakan tepat pada masanya untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dan bersedia dalam menghadapi era gangguan serta ketidaktentuan global.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, menekankan perkara itu dalam titah pada majlis persantapan rasmi sempena lawatan Tuan Yang Terutama dan isteri serta rombongan di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman kelmarin.

    Baginda Sultan seterusnya bertitah, meskipun berdepan cabaran pandemik COVID, Baginda menzahirkan kegembiraan kerana kedua-dua buah negara dapat meneruskan kerjasama dua hala dalam bekalan tenaga sekali gus menghasilkan perdagangan yang melangkaui sasaran AS$500 juta yang telah ditetapkan pada tahun 2017.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berjabat tangan dengan TYT Perdana Menteri Vietnam sejurus penandatanganan perjanjian antara kedua-dua negara yang mengukuhkan lagi kerjasama dua hala.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berserta kerabat diraja pada majlis persantapan rasmi sempena lawatan TYT Pham Minh Chinh dan isteri serta rombongan ke Brunei Darussalam.
    Baginda Sultan dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha semasa berkenan menerima mengadap TYT Pham Minh Chinh dan isteri, Le Thi Bich Tran.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah pada majlis persantapan rasmi di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman.
    Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menerima junjung ziarah daripada rombongan Republik Sosialis Vietnam semasa majlis perjumpaan dua hala.
    TYT Pham Minh Chinh semasa menyampaikan ucapan balas sambil disaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada majlis persantapan rasmi.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan berangkat ke majlis mengadap.
    Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam semasa berkenan berangkat pada majlis mengadap.
    Penandatanganan perjanjian antara Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua dan TYT Menteri Luar Vietnam.

    Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam berminat untuk terus mengembangkan lagi hubungan perdagangan, khususnya melalui usaha sama dalam akuakultur bagi membantu membina kapasiti industri tempatan dan memastikan keselamatan makanan.

    Di samping itu, hubungan dalam bidang pendidikan yang berterusan antara Universiti Brunei Darussalam dan Universiti FPT di Da Nang, serta pelaksanaan pengecualian visa, akan mendekatkan lagi rakyat serta memudahkan pergerakan barangan dan perkhidmatan, titah Baginda.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa mengakhiri titah, melahirkan penghargaan kepada Vietnam atas sokongan yang diberikan kepada Brunei selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2021 dan berharap untuk bekerjasama ke arah mencapai Wawasan Komuniti ASEAN Pasca 2025.

    Selain itu, Baginda juga menyampaikan ucapan tahniah kepada Vietnam yang terpilih untuk menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan menzahirkan keyakinan terhadap sumbangan Vietnam dalam menangani isu-isu hak asasi manusia.

    Manakala dalam ucapan balas daripada TYT Perdana Menteri Vietnam, beliau menzahirkan rasa syukur atas hubungan mesra yang telah lama terjalin antara kedua-dua buah negara dan mengucapkan tahniah kepada Negara Brunei Darussalam atas pencapaiannya di bawah pemerintahan Baginda Sultan.

    Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa Brunei akan dapat mencapai peralihan ekonomi dan wawasan 2035.

    Dalam usaha ke arah mempelbagaikan ekonomi kedua-dua buah negara, Tuan Yang Terutama menekankan bahawa pemeteraian Plan of Action for the Implementation of the Comprehensive Partnership (2023-2027) akan memberi laluan kepada peluang yang lebih besar yang akan dapat meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua buah negara.

    Beliau turut menghargai sokongan aktif Brunei dalam forum pelbagai hala seperti APEC dan PBB serta berharap supaya persahabatan yang berterusan ini akan lebih kukuh ke arah membina Komuniti ASEAN.

    Majlis mengadap

    Terdahulu pada sebelah pagi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima mengadap Tuan Yang Terutama dan isteri, Le Thi Bich Tran di Istana Nurul Iman setelah mengalu-alukan ketibaan me-reka berdua dan rombongan di perkarangan Istana Nurul Iman dan kemudiannya diperkenalkan kepada kerabat diraja yang berangkat ke majlis itu.

    Turut hadir ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, selaku Menteri Pengiring dan isteri.

    Majlis perjumpaan dua hala

    Selepas majlis mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat bersama Tuan Yang Terutama bagi majlis perjumpaan dua hala.

    Semasa majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama antara lainnya, telah membincangkan hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Sosialis Vietnam serta kerjasama antara kedua-dua buah negara, termasuk melalui permeteraian Plan of Action for the Implementation of the Comprehensive Partnership yang akan melakar hala tuju masa depan hubungan dua hala. Kedua-dua pemimpin juga berbincang mengenai peluang-peluang kerjasama baharu yang dapat diterokai oleh kedua-dua buah negara

    Majlis penandatanganan instrumen persefahaman

    Selesai majlis perjumpaan dua hala, Baginda Sultan dan Tuan Yang Terutama menyaksikan majlis penandatanganan bagi dua instrumen persefahaman di antara kerajaan Brunei dan Vietnam iaitu Plan of Action for the Implementation of the Comprehensive Partnership between Brunei Darussalam and the Socialist Republic of Vietnam (2023-2027).

    Penandatanganan disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Dato Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Menteri Luar Negeri kerajaan Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Bui Thanh Son.

    Pelan tindakan tersebut merupakan rangka kerja bagi menggalakkan kerjasama dua hala yang lebih erat antara kedua-dua buah negara dalam bidang-bidang berkepentingan bersama termasuk politik, pertahanan, keselamatan, tenaga, pendidikan, pelancongan serta belia dan sukan.

    Penandatanganan kedua ialah bagi Exchange of Notes for the Arrangement on Visa Exemption for Holders of Diplomatic and Official Pass-ports yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua Brunei dan TYT Menteri Luar Negeri Vietnam.

    Penandatanganan itu adalah bagi pertukaran aturan pengecualian visa bagi pemegang pasport diplomatik dan rasmi Negara Brunei Darussalam dan Vietnam dipanjangkan daripada 14 hari kepada 30 hari.

    Majlis persantapan rasmi

    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri kemudiannya berangkat ke Baitur Rahmah bersama Tuan Yang Terutama dan isteri untuk menghadiri majlis persantapan rasmi, berserta kerabat diraja dan rombongan dari Vietnam.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
    Pada majlis itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengurniakan titah diikuti ucapan balas oleh Tuan Yang Terutama.

    TYT Perdana Menteri Vietnam dan isteri serta rombongan kemudian berangkat pulang pada hari yang sama setelah lawatan rasmi dua hari ke negara ini.

     

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...