Thursday, November 7, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei, Vietnam tingkat perdagangan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 FEB – Negara Brunei Darussalam amat menghargai hubungan rapatnya dengan Vietnam dengan usaha terus dipertingkat untuk meningkatkan lagi penglibatan kedua-dua buah negara dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk sektor perdagangan dan ekonomi.

    Pada 2021, Vietnam merupakan pasaran eksport ke-10 terbesar bagi Brunei dengan aliran perdagangan antara kedua-dua buah negara meningkat pada 2022 disebabkan peningkatan eksport produk mineral ke Vietnam.

    Dengan pertumbuhan ekonomi Vietnam yang pesat, Brunei mengenali akan potensi bagi kedua-dua buah negara untuk mempertingkatkan lagi kerjasama perdagangan dan ekonomi berkenaan.

    Ke arah itu, Forum Perniagaan Brunei-Vietnam menjadi platform kondusif bagi pertukaran pandangan bagaimana untuk membangunkan kerjasama yang akan merealisasikan visi bersama bagi kemakmuran serta pertumbuhan ekonomi.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucapannya pada Forum Perniagaan Brunei Darussalam-Vietnam sempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Pham Minh Chinh ke Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    TYT Pham Minh Chinh semasa menyaksikan pameran di Galeri Satu dan Dua Hab Tenaga Brunei, baru-baru ini.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan TYT Perdana Menteri Vietnam semasa menghadiri Forum Perniagaan Brunei Darussalam-Vietnam.

    Juga hadir semasa forum dan lawatan berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Menteri Pengiring dan Timbalan Menteri Jabatan Tenaga di JPM, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.

    Sebagai tambahan kepada forum perniagaan itu, jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, Negara Brunei Darussalam juga menghargai penglibatan bersama Vietnam dalam forum pelbagai hala, yang secara kolektif adalah penting dalam mencapai matlamat bersama pembangunan ekonomi yang berdaya tahan, inklusif dan mampan.

    Di peringkat serantau dan antarabangsa, usaha yang dilaksanakan oleh kedua-dua buah negara dalam ASEAN dan APEC serta perjanjian seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) telah meningkatkan akses kepada pasaran global, menggalakkan aktiviti ekonomi dan perdagangan berasaskan peraturan serta memudahkan rantaian bekalan yang berdaya tahan, pelbagai dan efisien.

    Semua itu, tambah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, kekal menjadi tunggak penting dalam strategi ekonomi kita dan akan terus bekerjasama rapat bersama Vietnam ke arah mendalamkan lagi usaha integrasi ekonomi serantau yang setentunya akan menyokong pertumbuhan ekonomi masing-masing. Sementara itu, beliau

    menyatakan bahawa sektor makanan juga telah menyaksikan pertumbuhan pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya akuakultur dan penternakan ayam itik.

    Selepas forum perniagaan berkenaan, TYT Pham Minh Chinh berserta rombongan berkesempatan untuk menyaksikan pameran di Galeri Satu dan Dua Hab Tenaga Brunei yang menempatkan pameran interaktif kekal, mempamerkan sejarah industri minyak dan gas, dan perjalanan dari masa lalu, kini dan masa depan.

    Semasa lawatan berkenaan, TYT Pham Minh Chinh telah diberikan taklimat oleh wakil dari Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dan Brunei LNG Sdn Bhd.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda