Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    BRUNIFY dinobatkan juara LiveWire Hackathon

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Idea perniagaan yang dibentangkan oleh pasukan BRUNIFY yang mengetengahkan perisian pembelajaran dan pengajaran secara maya menambat hati para panel hakim dan dinobatkan sebagai juara bagi LiveWIRE Hackathon yang berlangsung di Dewan Bankuet, Ibu Pejabat Progresif, Gadong, hari ini.

    Sebanyak enam pasukan beraksi membentangkan idea perniagaan mereka di hadapan panel hakim yang menilai mereka daripada segi kebolehlaksanaan, nilai komersial, komposisi pasukan, inovasi, prospek kewangan dan penyelarasan perniagaan kepada enam bidang teras.

    Pasukan-pasukan yang beraksi membentangkan idea perniagaan mereka ialah pasukan BANGUN, BRUNIFY, STUDAPP, GREEN TECH, S.W.O. TECH dan GENE SIX.

    Pasukan BRUNIFY muncul sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah $2,000 dengan hadiah disampaikan oleh Pengurus Hal Ehwal Luar dan Komunikasi, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Dayang Suriani binti Garip.

    Tempat kedua dimenangi oleh pasukan STUAPP yang membawa pulang hadiah wang tunai $1,500 dengan hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Kewangan Progresif Sdn Bhd, Awang Rashid bin Najeeb serta tempat ketiga dimenangi oleh pasukan S.W.O. TECH yang membawa pulang hadiah wang tunai $1,000 dengan hadiah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Network Integrity Assurance Technologies (NiAT), Dayang Siti Nur Aazzah binti Pehin Dato Haji Abdul Aziz.

    Hajah Nurul Haniah menyampaikan Anugerah Projek Istimewa kepada Pasukan BRUNIFY.
    Haji Jaafar dan Hajah Rosita yang menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah LiveWIRE Hackathon yang berlangsung di Ibu Pejabat Progresif.

    Sementara itu, pasukan BRUNIFY juga dipilih untuk memenangi Anugerah Projek Istimewa oleh Progresif dan membawa pulang wang tunai $1,500 dengan hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Progresif Sdn Bhd, Hajah Nurul Haniah binti Haji Mohd Jaafar.

    Turut hadir semasa majlis penyampaian hadiah itu ialah Pengurus Korporat BSP, Haji Jaafar bin Haji Bakar dan Pengurus Nilai dalam Negara BSP, Hajah Rosita binti Haji Hassan.

    LiveWIRE Hacktahon diadakan selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Mac dengan matlamat untuk menggalakkan para peserta untuk bekerjasama dan membangunkan penyelesaian yang bersesuaian daripada perspektif yang lebih meluas dengan tumpuan kepada enam bidang teras iaitu alam sekitar (pengurusan sisa dan peralihan tenaga), agriteknologi, pendigitalan, pembuatan pintar, edutainment (pendidikan, seni dan budaya) serta keusahawanan.

    Pada tahun ini, seramai 25 orang peserta dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Politeknik Brunei, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dihasratkan untuk membentangkan strategi perniagaan dan proses yang boleh meraih nilai daripada prospek Revolusi Industri (IR) 4.0.

    Para peserta telah menghadiri pelbagai bengkel yang dikendalikan oleh kaunselor LiveWIRE sebelum hari pembentangan idea termasuk kanvas model perniagaan, pengenalan kepada kewangan dan pembentangan. Di samping itu, bengkel penjenamaan dan pemasaran juga disertakan sebagai sebahagian daripada kandungan yang dikendalikan oleh wakil daripada Progresif Sdn Bhd.

    Penyertaan para peserta dalam hackathon berkenaan bermatlamat untuk menyediakan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang dapat dimanfaatkan oleh mereka dalam pembentangan idea perniagaan masing-masing.

    Pada masa yang sama, kaunselor LiveWIRE Brunei, pakar industri dari Darussalam Enterprise (DARe), Progresif Sdn Bhd dan Mindtrex Academy turut dijemput untuk memberikan bimbingan kepada para peserta bagi menghalusi lagi idea dan mengesahkan cadangan perniagaan mereka, membolehkan mereka untuk belajar, bekerjasama serta menghasilkan keputusan sebagai sebahagian daripada proses berkenaan.

    Pada sesi pembentangan itu, setiap pasukan perlu mengetengahkan idea mereka dihadapkan panel hakim jemputan yang terdiri daripada Dayang Suriani, Dayang Siti Nur Aazzah, Awang Rashid dan Ketua Inovasi Produk Progresif Sdn Bhd, Awang Mohd Haziq bin Haji Mohd Sarip.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...