Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Bintang golf tempatan, Bryan Chiew Chun Hao muncul juara setelah selepas mencatatkan 39 mata dalam Kejohanan Akhir Kebangsaan Piala Golf BMW Brunei 2024 yang berlangsung di Kelab Golf Pantai Mentiri, Ahad lalu.
Pemain golf berbakat itu akan mewakili negara ke Kejohanan Akhir Dunia Piala Golf BMW yang akan diadakan di Kelab Golf Alpine di Bangkok, Thailand pada Mac 2025.
Pemenang yang baharu dinobatkan berkata, “Ia merupakan salah satu kejohanan terbaik terutamanya dari segi layanan dan pengalaman.”
Sementara itu, Pengurus Besar QAF Auto Sdn Bhd, Alisa Khoo berkata, “Di BMW, kami berusaha untuk meningkatkan setiap pengalaman, dan Piala Golf BMW menggambarkan komitmen kami terhadap kecemerlangan.
Beliau menambah, “Kejohanan akhir kebangsaan ini bukan sekadar sebuah kejohanan; ia adalah sambutan komuniti BMW di Brunei, yang didorong oleh sokongan pelanggan, rakan kongsi dan rakan sekerja kami.”
“Perlawanan Akhir Dunia Piala Golf BMW ialah peluang sekali seumur hidup, di mana semangat untuk sukan golf bertemu dengan pengalaman bertaraf dunia yang hanya boleh ditawarkan oleh BMW,” tambahnya.
Kejohanan golf itu, yang meraikan semangat kesukanan dan setiakawan itu, menghimpunkan lebih 80 pemain golf amatur terbaik Brunei.
Piala Golf BMW kini merupakan siri kejohanan amatur antarabangsa terbesar yang telah menganjurkan lebih daripada 800 kejohanan kelayakan dan lebih 100,000 pemain yang mengambil bahagian di lebih 40 negara.