Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    BSI Dis 2022, Jan 2023 lebih kurang sama

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Sub-indeks Keadaan Perniagaan iaitu indeks utama Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) adalah 50 bagi Januari 2023 di mana ia menunjukkan bahawa secara amnya, sektor swasta menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih kurang sama pada Januari 2023 dengan Disember 2022.

    Salah satu sebab yang dikongsi adalah kekurangan hari bekerja pada Januari memandangkan beberapa hari cuti kelepasan awam pada bulan berkenaan.

    Meskipun beberapa perniagaan menjangkakan acara-acara seperti Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja, Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) dan Pesta Pengguna ke-26 akan meningkatkan tahap permintaan produk dan perkhidmatan, sebahagian perniagaan yang lain berpandangan bahawa tahap perbelanjaan akan berkurang selepas musim percutian Disember 2022.

    Memandang ke hadapan, secara amnya, prestasi bagi Februari 2023 dijangkakan akan lebih optimistik dengan indeks bagi keadaan perniagaan satu bulan ke hadapan di tahap 50.5.

    Ia didorong oleh jangkaan peningkatan dalam pengeluaran disebabkan kenaikan tahap permintaan, jumlah projek yang meningkat, permulaan projek-projek baharu serta acara-acara yang akan diadakan termasuk Hari Kebangsaan ke-39.

    BSI bagi Negara Brunei Darussalam bagi Januari 2023.

    Dapatan itu adalah daripada laporan BSI bagi Negara Brunei Darussalam bagi Januari 2023 yang diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), hari ini.

    Indeks itu adalah berdasarkan kaji selidik ke atas hampir 600 perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi dari semua daerah di Negara Brunei Darussalam.

    Sub-indeks Pelaburan adalah 50 bagi Januari 2023, 50 untuk satu bulan di hadapan dan 50.7 bagi tiga bulan ke hadapan di mana ia menunjukkan secara amnya, para peniaga menjangka akan mengekalkan tahap perbelanjaan pelaburan pada Januari dan Februari 2023 serta hanya akan meningkatkannya pada tiga bulan yang akan datang.

    Faktor-faktor utama bagi peningkatan itu termasuk pembelian mesin dan peralatan untuk melaksanakan projek baru, mengganti atau memperbaiki peralatan lama, pembesaran dan pengubahsuaian pejabat dan kilang serta penambahan stok inventori bagi persediaan untuk Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1444H yang dijangka akan meningkatkan jualan.

    Dari segi sektor ekonomi, lima daripada 11 sektor mencatatkan sentimen optimistik pada Januari 2023. Sektor yang menunjukkan sentimen yang tertinggi adalah sektor kesihatan dan pendidikan, disebabkan oleh permulaan tahun persekolahan.

    Sektor lain ialah hotel dan restoran pertanian, perhutanan, perikanan dan ternakan, kewangan serta insurans.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda