Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    BSM, QAF Auto lancar kemudahan pengecasan kedua

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 FEB – Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) Sdn Bhd dengan kerjasama QAF Auto Sdn Bhd telah melancarkan kemudahan pengecasan pantas Shell Recharge kedua negara di Dewan Pameran BMW, Beribi, hari ini.

    Majlis perasmian kemudahan berkenaan telah disempurnakan bersama oleh Pemangku Pengarah Peralihan Tenaga, Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri, Awang Abdul Salam bin Haji Abdul Wahab; Pemangku Pengarah Pengangkutan Darat, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Awang Ridzuan bin Haji Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QAF Brunei, Albert Lau; Pengarah Urusan BSM, Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil dan Pengurus Besar QAF Auto Sdn Bhd, Alisa Khoo.

    Pengecas kenderaan elektrik (EV) canggih berkenaan terletak di kawasan Perindustrian Beribi yang melambangkan langkah signifikan ke arah landskap automotif yang lebih efisien tenaga dan mesra alam di Negara Brunei Darussalam.

    Alisa Khoo menyatakan kerjasama strategik di antara QAF Auto dan Shell memberikan kedua-dua syarikat berkenaan kelebihan dalam pasaran yang mencabar serta mencerminkan peralihan dalam sektor tenaga dan automotif.

    Dengan EV menjadi lebih menarik kepada orang ramai, beliau menyatakan pihaknya menjangkakan akan ada peningkatan dalam kerjasama dan inovasi yang akan mentakrifkan semula sempadan bagi ekosistem EV.

    Beliau menambah, bersama dengan Shell pihaknya akan terus menerajui penyelesaian mobiliti berpandangan ke hadapan dan mampan.

    Sementara itu, Awang Muhammad Norshafiee berkata BSM gembira bekerjasama dengan QAF Auto bagi menyediakan sokongan kepada pelanggan-pelanggan BMW dalam keperluan pemasangan dan pengecasan mereka.

    Dengan permintaan yang semakin bertambah, ulasnya, BSM akan terus mengambil pendekatan pragmatik dalam mengembangkan Shell Recharge di tapak destinasi, retail dan on-the-go di seluruh negara.

    Beliau berkata dengan akses kepada salah satu penyelesaian pengecasan elektrik terbesar di dunia, pihaknya akan terus peka dengan teknologi e-mobiliti terkini yang diguna pakai secara global seperti yang digunakan di QAF Auto.

    Awang Muhammad Norshafiee (kiri), Awang Abdul Salam (dua kiri), Awang Ridzuan (tengah), Albert Lau (dua kanan) dan Alisa Khoo bersama-sama memotong reben menyempurnakan perasmian kemudahan pengecasan pantas Shell Recharge di Dewan Pameran BMW, Beribi, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM.Y.H.
    Awang Abdul Salam menyempurnakan pengecasan EV di Shell Recharge. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda