Monday, March 17, 2025
28.4 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

BSN galak kerjasama institusi pendidikan Borneo

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menganjurkan Persidangan Rangkaian Pengajian Borneo (BSN) dan UBD yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UBS, Persidangan UBD-BSN yang diadakan di Mawardi Global Classroom, Bangunan ILIA, UBD dengan tema Borneo Within, Borneo Beyond itu telah dirasmikan oleh Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz pada

Dalam ucapan pembukaannya, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina menyentuh mengenai penubuhan BSN pada Oktober 2013 bersama 12 buah institusi pengasas.

Menurut beliau, objektif dan peranan utama BSN adalah untuk menggalakkan dan mempromosikan kerjasama dalam kalangan institusi-institusi pendidikan dan pusat penyelidikan di Borneo.

Pada masa ini, BSN mempunyai lima kumpulan penyelidikan iaitu Borneo Energy & Advanced Material, Warisan Kebudayaan Borneo, Komuniti Lestari dan Transformasi Borneo, Ekonomi dan Perbankan Borneo serta Biodiversiti Borneo.

Dr Joyce Teo Siew Yean semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan UBD-BSN iaitu Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Global) UBD, Dr Joyce Teo Siew Yean turut menyampaikan ucapan alu-aluannya yang antara lain mengongsi bahawa banyak inisiatif, program dan aktiviti telah dijalankan dalam tempoh lapan tahun kebelakangan di bawah payun BSN yang termasuk kerjasama penyelidikan, mobiliti pelajar dan program-program jangka pendek.

Baru-baru ini, tambah beliau, 12 institusi BSN juga bersama-sama memulakan projek baharu mengenai Ruang Pembelajaran Dalam Talian BSN untuk membolehkan pelajar-pelajar BSN mendaftar bagi modul-modul dalam talian di universiti-universiti rakan BSN yang berkaitan dengan tema-tema Borneo.

Ucaptama pertama bertajuk A Contextualization and Deconstruction of Borneo Studies Over the Last 50 Years telah disampaikan oleh Profesor Pengajian Borneo di Institut Pengajian Asia, UBD, Profesor Emeritus Victor T. King.

Manakala itu, ucaptama kedua bertajuk Climate Change and the Meantime: Borneo in Asia Context disampaikan oleh Pengerusi dalam Geografi Manusia di Sekolah Sains Geografi, Cabot Institute for the Environment, University of Bristol, United Kingdom, Profesor Jonathan D Rigg.

Persidangan berkenaan menyaksikan 12 sesi panel selari dengan enam panel pada hari pertama dan enam lagi hari ini.

- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda