Tuesday, November 26, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    BSP mulakan aktiviti pemulihan aset-aset timur

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) dan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) memaklumkan orang ramai mengenai aktiviti-aktiviti pemulihan (turnaround) berjadual bagi aset-aset timur (East Assets) di sektor huluan minyak dan gas yang akan dikendalikan oleh BSP bermula esok hingga 1 Julai.

    Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh JPE dan BSP, di sini, aktiviti-aktiviti pemulihan berkenaan berkemungkinan menjejaskan bekalan gas ke Tungku Gas Plant (TGP) yang menyalurkan gas ke stesen-stesen jana kuasa milik JPE dan Syarikat Berakas Power Company Sdn Bhd (BPC).

    Walaupun kebarangkaliannya adalah rendah, aktiviti itu juga berkemungkinan meningkatkan risiko gangguan bekalan tenaga elektrik secara berkala di kawasan-kawasan tertentu di negara ini terutamanya pada 3 hingga 5 Mei.

    Kenyataan menyatakan lagi bahawa sepertimana juga prosedur operasi standard (SOP) JPE yang lazimnya dilaksanakan sebagai langkah siap siaga, pihak JPE dengan kerjasama bersepadu pihak-pihak berkepentingan akan memastikan sebarang gangguan bekalan elektrik adalah dalam keadaan yang terkawal di mana kawasan-kawasan yang mungkin terjejas akan turut dimaklumkan dengan segera.

    Dalam pada itu, orang ramai disarankan untuk sentiasa menggunakan bekalan tenaga elektrik secara berhemah dan efisien di samping mengamalkan inisiatif penjimatan tenaga.

    Perkembangan aktiviti-aktiviti berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui siaran akhbar dan media sosial JPE dan BSP. Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi Talian Darussalam 123.

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda