Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) menekankan komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk memupuk bakat-bakat tempatan, membangunkan warganya dengan pelbagai kemahiran dan keupayaan yang akan menyumbang kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Pada masa yang sama, ia akan menyediakan talian bakat yang berkualiti tinggi dan mantap bagi syarikat berkenaan, industri tenaga dan negara, jelas Pengerusi Negara bagi Syarikat-syarikat Shell di Brunei dan Pengarah Urusan BSP, Agnete Johnsgaard-Lewis dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Penandatanganan Kontrak bagi Skim Biasiswa Syarikat-syarikat Brunei Shell Joint Venture (BSJV) yang berlangsung di Dewan Indera Samudra, The Empire Brunei, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan kontrak ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Tenaga), Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Haji Azhar bin Haji Yahya; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman; Pemangku Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Hajah Rubiah binti Haji Yacub; Pengarah Urusan BSM, Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Jalil; Pengarah Sumber Manusia BSP, Hajah Zainab MA Omar, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai-pegawai daripada syarikat BSJV dan universiti-universiti unggul tempatan serta ibu bapa penerima biasiswa berke-naan.
Dalam ucapan alu-aluannya lagi, Agnete mengingatkan para pelajar bahawa sebagai warga Brunei dan pemimpin masa hadapan BSJV, mereka harus terus belajar, meningkatkan kemahiran dan mempelajari semula ilmu pengetahuan untuk kekal relevan dan bersedia bagi masa hadapan khususnya dalam persekitaran yang sentiasa berubah.
Beliau menyeru mereka untuk menguasai bidang masing-masing, bangga dengan hasil kerja serta menumpukan kepada membangunkan diri mereka secara profesional dan peribadi supaya sentiasa bersedia untuk masa hadapan, tangkas dan bersiap sedia untuk menghadapi segala cabaran yang akan datang.
Seruan bagi keperluan untuk para pelajar kekal tangkas dan bersedia menghadapi apa jua cabaran yang mungkin dihadapi turut disuarakan oleh Hajah Zainab.
Beliau menambah bahawa selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Konvokesyen UBD ke-34 di mana Baginda menyeru para graduan untuk kekal bersedia bagi masa hadapan dan boleh bekerja.
Majlis diteruskan dengan penandatanganan Kontrak Skim Biasiswa BSJV yang ditandatangani oleh para penerima biasiswa dengan Hajah Zainab serta disaksikan bersama oleh Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah.
Pada majlis berkenaan, tujuh orang pelajar teladan telah menandatangani kontrak di bawah skim berkenaan di mana syarikat-syarikat BSJV yang menganugerahkan biasiswa
ialah BSP, Brunei LNG dan BSM.
Pelajar-pelajar yang dianugerahkan biasiswa berkenaan akan melanjutkan pengajian tinggi di universiti-universiti tempatan iaitu UBD dan UTB di mana setelah menamatkan pengajian, mereka akan menyertai syarikat-syarikat BSJV sebagai profesional muda.
Pada awal 2022, BSP telah memulakan perjalanan #BSPBersatu yang merupakan strategi jangka panjang BSP untuk terus memperkasa Brunei secara mapan. Pemboleh yang terbesar untuk BSP merealisasikan strategi #BSPBersatu adalah aset terbaik syarikat berkenaan iaitu warganya, Orang Kitani.
BSP amat berbangga dengan profesionalnya yang pelbagai dan berkemahiran tinggi yang mempamerkan ketajaman komersial, kepakaran teknikal dan bangga dalam melaksanakan kerja yang berkualiti untuk mempersiapkan BSP bagi masa hadapan.
Pada majlis itu juga, Yang Berhormat Menteri Pendidikan turut menyempurnakan penyampaian anugerah First Class Achiever 2021/2022 kepada 10 orang pelajar cemerlang di mana tiga penerima sudah menyertai syarikat sebagai profesional manakala yang selebihnya akan bermula pada September nanti.