Oleh Sharifah Nur Khalidah binti Shaikh Khalid
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Enam puluh satu orang peserta terdiri daripada pelajar dan kakitangan Kesatuan Pelajar Brunei (BSU) di London telah mengambil bahagian dalam perlawanan persahabatan 10-Pin Boling di Airport Bowl, baru-baru ini.
Perlawanan anjuran Jawatankuasa Dewan Pelajar Brunei dengan sokongan BSU di United Kingdom dan Eire itu diadakan untuk mengeratkan silaturahim di kalangan warga Brunei dan pelajar serta mengumpul dana untuk anak-anak yatim AIDS di negara berkenaan.
Hadir menyaksikan perlawanan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, yang juga Pengasas Dana Anak-anak Yatim AIDS, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa Haji Ash’ari; Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom, Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; pengarah pengajian BSU, para pegawai dan anggota keluarga mereka.