Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Dalam usaha untuk mengumpul maklumat terkini secara tahunan mengenai profil dan perkembangan aktiviti ekonomi syarikat perusahaan dan perniagaan sektor swasta terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) mengendalikan Banci Tahunan Perusahaan dan Perniagaan (BTP) 2021 bagi negara ini.
JPES dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan, BTP 2021 ini meliputi semua syarikat perusahaan dan perniagaan yang aktif menjalankan perniagaan di negara ini selain mengumpulkan maklumat mengenai jenis aktiviti ekonomi, bilangan pekerja, pendapatan dan perbelanjaan perusahaan atau perniagaan bagi tahun rujukan 2020.
BTP 2021 dijalankan di bawah Akta Perangkaan, Penggal 81 dari Undang-undang Negara Brunei Darussalam.
JPES memberikan jaminan kepada semua syarikat perusahaan atau perniagaan yang terlibat bahawa maklumat yang dikumpulkan semasa banci berkenaan akan disimpan sulit dan akan digunakan bagi keperluan perangkaan sahaja.
Kenyataan menyatakan, Borang Tanya BTP 2021 sedang diedarkan kepada syarikat-syarikat perusahaan atau perniagaan melalui pos, e-mel dan lawatan ke premis perniagaan oleh pekerja luar banci yang dilantik.
Selain itu, pekerja-pekerja luar berkenaan juga akan membantu dan memberikan tunjuk ajar jika pihak syarikat perusahaan atau perniagaan menghadapi sebarang kesulitan dalam membekalkan maklumat yang diperlukan.
Borang Tanya BTP 2021 juga boleh dimuat turun melalui laman sesawang JPES dan tarikh tutup untuk mengembalikan borang tanya yang telah telah diisikan ke JPES adalah pada 31 Julai depan.
JPES dalam kenyataan turut mengingatkan, menurut Bab 9 Akta Perangkaan, kegagalan atau keengganan untuk memberikan maklumat yang dikehendaki atau memberikan maklumat palsu adalah menjadi satu kesalahan yang membawa hukuman denda sebanyak $4,000.
Hasil yang diperolehi melalui BTP 2021 akan dapat memberikan maklumat yang komprehensif dan terkini mengenai profil syarikat-syarikat perusahaan atau perniagaan dalam membantu perancangan, penyelidikan dan penyediaan dasar berkaitan perkembangan sektor swasta sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Selain itu, pihak syarikat sendiri juga boleh menggunakannya dalam merancang dan memperkembangkan aktiviti dan strategi perniagaan masing-masing.
Sokongan dan kerjasama semua syarikat dalam memberikan maklumat yang dikehendaki adalah sangat diharapkan bagi sama-sama menjayakan banci berkenaan.
Untuk pertanyaan mengenai BTP 2021 bolehlah dirujuk ke JPES dengan menghubungi talian 2230275 atau 2233344 sambungan 647, 661, 662 dan 651 (waktu pejabat), e-mel economic.census@jpes.gov.bn atau melayari laman sesawang www.deps.gov.bn.