Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Budak perempuan maut dijangkiti selesema burung

    PHNOM PENH, 23 FEB – Seorang budak perempuan berusia 11 tahun di Kemboja meninggal dunia akibat selesema burung, menjadi kematian pertama negara itu daripada virus tersebut dalam beberapa tahun, menurut pihak berkuasa kesihatan.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyeru kewaspadaan selepas pengesanan terbaharu selesema burung pada mamalia, tetapi menekankan bahawa risiko kepada manusia adalah rendah.

    Budak perempuan itu jatuh sakit pada 16 Februari dengan demam, batuk dan sakit tekak, kemudian meninggal dunia di hospital, menurut Jabatan Kawalan Penyakit Berjangkit Kemboja kelmarin.

    Ia tidak memberikan waktu kematian budak itu tetapi menjelaskan bahawa keputusan ujian yang diumumkan kelmarin mengesahkan bahawa budak berasal dari daerah Prey Veng telah ‘positif H5N1,’ merujuk kepada virus selesema burung.

    Penyakit ini biasanya merebak daripada burung kepada manusia melalui kontak secara langsung. Para pegawai juga sedang menunggu keputusan ujian dari beberapa burung mati yang ditemui berhampiran kampung kanak-kanak itu, kata Kementerian Kesihatan Kemboja.

    Gambar serahan Kementerian Kesihatan Kemboja menunjukkan penduduk kampung memegang poster untuk menyemai kesedaran tentang ancaman virus H151 ketika pakar kesihatan cuba mendidik mereka untuk menjaga kesihatan di Kampung Prey Veng, timur wilayah Kemboja, 23 Februari. – AP

    Dalam satu kenyataan, Menteri Kesihatan Mam Bunheng menyeru ibu bapa untuk menjauhkan anak-anak mereka daripada unggas ternakan dan burung yang sakit atau mati.

    Kes ini merupakan kes ke-57 selesema burung yang direkodkan sejak ia melanda Kemboja dua dekad yang lalu.

    Sejak akhir 2021, Eropah telah dihimpit oleh wabak selesema burung terburuk dalam sejarahnya, dengan Amerika Utara dan Selatan juga mengalami wabak yang teruk.

    Ia telah menyebabkan pemusnahan puluhan juta ternakan unggas di seluruh dunia, kebanyakannya mempunyai strain H5N1.

    Wabak global ini juga bertanggungjawab atas kematian puluhan ribu unggas liar.
    Pengesanan terbaharu jangkitan pada beberapa mamalia, termasuk rubah, memerang, musang, singa laut dan beruang telah membangkitkan kebimbangan bahawa manusia mungkin lebih berisiko.

    “Penularan baru-baru ini ke atas mamalia perlu dipantau rapi,” kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus bulan ini, menekankan bahawa ‘buat masa sekarang, WHO menilai risiko kepada manusia adalah rendah.’ – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...