Sunday, October 6, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Budaya unik Brokpa di tanah Himalaya

    GARKON, INDIA – Di kawasan pergunungan bersalji Himalaya di bahagian India, terdapat sebuah masyarakat yang telah lama terpisah, mengimbau kembali sejarah mitos asal usul migrasi mereka dari ribuan tahun lalu – satu identiti di tanah yang dipertikaikan dan kini diputarbelitkan oleh politik.

    Masyarakat Brokpa di Ladakh tidak mempunyai bahasa tulisan, mengamalkan budaya poligami dan memiliki kalendar mereka sendiri.

    Masyarakat tersebut mempunyai keramaian 6,000 orang dan tinggal di lembah gunung berbatu di tepi Sungai Indus.

    Lagu yang paling dinyanyikan oleh mereka adalah ‘lagu sejarah’. Bait baharu ditambah setiap 12 tahun, yang dikira sebagai satu ‘tahun’ dalam kalendar mereka.

    Tsering Gangphel, 85, berkata lagu tersebut menggambarkan legenda Brokpa yang mengatakan mereka berasal dari Rom purba.

    Wanita masyarakat etnik Brokpa berkumpul di sebuah rumah di kampung Garkon di Ladakh. – AFP
    Gambar AFP
    Tashi Namgyal ketika ditemui media di kampung Garkon di Ladakh. – AFP
    Gambar AFP
    Masyarakat etnik Brokpa berkumpul di sebuah rumah di kampung Garkon di Ladakh. – AFP

    Sebahagian masyarakat Brokpa lain menyatakan mitos hubungan nenek moyang mereka dengan tentera Alexander The Great yang menyerang pada abad keempat Sebelum Masihi.

    Para saintis bersikap skeptikal, dengan satu kajian DNA Brokpa menunjukkan asal usul mereka di India selatan.

    Namun, Gangphel, yang mengatakan dia boleh menyanyikan 1,000 lagu dalam bahasa Brokpa yang memperincikan budaya mereka – tetap teguh tentang sejarah kaumnya.

    “Kami masih meraikan ketibaan kami di sini dengan menari dan menyanyi di setiap kampung, sekali setiap tiga tahun,” kata Gangphel kepada AFP, di rumahnya yang menghadap sungai yang deras.

    “Kami adalah Arya,” tambahnya.

    PENGARUH POLITIK DAN PELANCONGAN

    Di Asia Selatan, ‘arya’ dalam bahasa Sanskrit kuno bermaksud ‘mulia’ atau ‘terkemuka’, bukan satu etnik yang berbeza.

    Ia pernah menjadi istilah yang kurang tepat yang menyatakan orang dari Eropah hingga Asia mempunyai nenek moyang yang berkait di Asia Tengah, yang dicerminkan dalam asal usul linguistik yang sama.

    Namun, istilah itu digunakan oleh sesetengah pihak kanan Hindu untuk mendakwa nenek moyang ‘Arya’ berasal dari India, mengaitkannya dengan identiti Hindu dan kebangsaan.

    Bagi masyarakat Brokpa, istilah ‘Arya’ digunakan sebagai alat untuk mempromosikan pelancongan dan cita-cita geopolitik India.

    Pihak berkuasa India mempromosikan pelancongan di kawasan Brokpa dengan menggelar tanah mereka sebagai ‘Lembah Arya Terakhir di India’.

    Kementerian pelancongan di negara itu juga turut mempromosikan mereka sebagai ‘Kampung Terakhir Arya di India’.

    Mona Bhan, seorang pakar Brokpa di Universiti Syracuse di New York, berkata masyarakat tersebut menggunakan istilah ‘Arya’ untuk menonjolkan amalan sosio-budaya dan sejarah mereka.

    Namun, nasionalis Hindu India menggunakan istilah tersebut untuk ‘mengesahkan pegangan mereka terhadap wilayah India yang dipertikaikan’, menurut ahli antropologi tersebut.

    CABARAN DAN PERUBAHAN

    Kalendar Brokpa bermaksud ulang tahun pertama kanak-kanak disambut apabila mereka mencapai usia 12 tahun. Menggunakan pengiraan itu, Gangphel yang ketawa dan berambut kelabu menyatakan bahawa dia ‘hanya berumur tujuh tahun’.

    Gangphel, bapa kepada enam anak yang mempunyai dua isteri, berkata perkahwinan dengan orang luar tidak digalakkan.

    “Menjadi Brokpa bermaksud menjadi unik dalam bahasa, pakaian dan tarian,” kata pelajar sekolah berusia 14 tahun, Etzes Dolma.

    Namun, kemasukan pelancong dan dasar pembangunan kerajaan membawa kemodenan yang semakin meningkat. Rumah-rumah dari tanah dan kayu digantikan dengan pembinaan konkrit dan kaca.

    Masyarakat Brokpa menyembah tuhan tradisional mereka, tetapi amalan itu sering digabungkan dengan kepercayaan lain.

    Kebanyakan Brokpa di India adalah penganut Buddha, manakala di Pakistan ramai yang telah memeluk Islam.

    Sangay Phunchok, 43, seorang pemimpin lama spiritual Buddha, berkata dia berpindah agama selepas mendengar bahawa amalan tradisi mereka tidak akan membawa ke syurga.

    Sebuah biara sedang dibina di kampung tersebut, tetapi Brokpa juga menghormati tuhan nenek moyang mereka di sebuah kuil yang dibina dengan tanduk ibex.

    “Kami masih berdoa kepada tuhan kami sendiri,” kata Gangphel.

    “Tetapi tradisi mengorbankan kambing telah dihentikan kerana lama kami tahu itu adalah perbuatan dosa,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda